
MANILA – Sekurang-kurangnya tiga orang maut, manakala lapan lagi cedera dalam insiden tembakan di sebuah sekolah di selatan Filipina, lapor akhbar The Independent.
Kejadian berlaku sekitar pukul 1.18 tengah hari (waktu tempatan) di Sekolah Tinggi Nasional Banga di Perbandaran Banga, Cotabato Selatan semalam.
Semua kelas ditangguhkan di perbandaran tersebut, demikian menurut pejabat pengurusan dan pengurangan risiko bencana tempatan.
Datuk Bandar Banga, Albert Palencia berkata, suspek berusia 16 tahun dipercayai antara yang terkorban selepas menembak dirinya sendiri.
“Empat individu berada dalam kritikal, manakala kesemua mangsa merupakan pelajar berusia antara 14 hingga 17 tahun,” katanya kepada agensi berita Reuters.
Beliau menambah, suspek memaklumkan rancangannya untuk melakukan tembakan kepada rakan-rakannya terlebih dahulu.
“Suspek duduk di sebelah rakan-rakannya dan memberitahu mereka untuk balik ke rumah kerana selepas makan tengah hari, saya akan melaksanakan rancangan saya. Mereka ketawa kerana penembak itu dikenali sebagai seorang pelajar yang suka bergurau.
“Selepas makan tengah hari, dia mula melepaskan tembakan ke arah pelajar. Dia menembak seramai 10 pelajar sebelum menembak dirinya sendiri,” kata Palencia.
Suspek menggunakan sepucuk pistol 9-mm milik bapanya yang merupakan seorang pekerja di jabatan pendidikan. Dia turut membawa dua kelopak peluru.
Palencia menyifatkan suspek sebagai seorang pelajar yang bijak dan aktif dalam sukan taekwondo, sambil menambah, tiada sebarang pentunjuk menunjukkan dia pernah dibuli.
Pihak berkuasa sedang menjalankan siasatan untuk mengenal pasti motif kejadian. – AGENSI
The post 3 maut ditembak di sekolah Filipina appeared first on Kosmo Online.


