3 rakyat Indonesia sukarelawan perubatan pilih kekal di Gaza

13 Nov 2023 • 7:45 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

JAKARTA: Indonesia berjaya memindahkan dua keluarga dari Semenanjung Gaza, sementara tiga warganya masih tinggal berhampiran Hospital Indonesia di utara Gaza.

Tiga individu berkenaan merupakan sukarelawan dari Jawatankuasa Kecemasan Perubatan (MER-C) Indonesia dan memilih untuk kekal berada di sana, menurut Menteri Luar Retno Marsudi.

“Bagaimanapun, kementerian akan terus berhubung dengan mereka dan wakil MER-C di Jakarta bagi memastikan kesejahteraan mereka,” katanya dalam kenyataan.

Retno berkata keluarga Hussein, iaitu sepasang suami isteri dan dua anak mereka telah berjaya dipindahkan dari Selatan Gaza pada Ahad.

Mereka kini berada di Mesir bersama pasukan pemindahan Kedutaan Besar Indonesia di Mesir dan akan dibawa ke Kaherah sebelum dihantar pulang ke Indonesia.

Menurut Retno, proses pemindahan keluarga itu mengambil masa yang agak lama kerana nama mereka pada mulanya tidak termasuk dalam senarai.

Meskipun nama mereka telah dimasukkan dalam senarai, proses pemindahan mengalami kelewatan kerana pintu sempadan ditutup.

“Proses yang lama ini sekali lagi menunjukkan bahawa pemindahan itu sukar, tetapi kami terus berusaha sebaik mungkin,” katanya.

Pemindahan pertama membabitkan keluarga Abdillah Onim iaitu seorang rakyat Indonesia dengan tiga anaknya serta isteri berketurunan Palestin dari Bandaraya Gaza. Mereka tiba di Indonesia pada 3 Nov.

Ramai warganegara asing meninggalkan Semenanjung Gaza setelah kawasan terkepung itu mengalami kemusnahan akibat serangan udara dan darat rejim Israel.

* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.

* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.