3 Restoran Mesra Muslim Di 3 Negara Jiran

Travel
18 Jun 2022 • 7:32 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available

Dengan sempadan yang sudah mula dibuka, laporan syarikat-syarikat penerbangan tempatan menunjukkan jualan tiket pesawat terus meningkat gara-gara rakyat Malaysia yang ingin melampiaskan rindu untuk melancong ke luar negara.

Semestinya kenaikan jumlah pelancong ke negara jiran berdekatanlah yang paling ketara. 

Namun bagi majoriti rakyat Malaysia yang beragama Islam, mencari makanan mesra Muslim mahupun halal di luar negara saat melancong kadang agak mencabar. Ini kerana lokasi tempat makan yang menyajikan makanan sedemikian kadangkala sukar untuk dicari.

Minggu ini kami ingin kongsikan tiga restoran di tiga buah negara jiran yang mesra Muslim dan ada menyajikan makanan menggunakan ramuan yang disahkan halal.

 

Makanan halal di Singapura bukanlah sukar untuk ditemui kerana terdapat banyak restoran yang memenuhi permintaan penduduk serta pelancong yang beragama Islam di sana.

image is not available
Nachos - Gambar oleh Shah Shamshiri

Sungguhpun begitu, kebanyakan restoran yang menyajikan hidangan halal tidak lari dari menu biasa seperti nasi, makanan Melayu ataupun sajian berunsur Timur Tengah dan India.

Atas sebab itu, sebuah restoran yang bernama Afterwit yang terletak di North Bridge Road di Singapura tampil dengan sesuatu yang berlainan dan jarang ditemui pengunjung Muslim di Singapura. 

image is not available
Churros - Gambar oleh Shah Shamshiri

Diterajui oleh salah seorang pemiliknya, Ashraf Shafii, Afterwit memperjuangkan masakan Mexico yang menggunakan ramuan halal untuk para tamunya.

“Kami memang mahu tampilkan sesuatu yang berbeza tapi dapat dinikmati oleh semua orang tanpa mengira bangsa dan agama. Atas dasar itu, Afterwit tampil menyajikan beberapa hidangan berunsur makanan Mexico seperti taco dan burrito halal untuk semua,” jelas Ashraf ketika ditemui.

image is not available
Burrito udang mayonis bawang putih dan brisket beriani - Gambar oleh Shah Shamshiri

Mendapat pengesahan halal dari Majlis Ugama Islam Singapura (MUIS) antara menu menarik yang mesti dicuba adalah quesadillas dengan daging itik, nachos, churros bersos coklat dan banyak lagi.

 

Kawasan selatan Thailand juga memang dikenali dengan penduduk beragama Islam yang ramai, jadi mencari tempat makan yang halal biasanya tidak terlalu sukar. Ini termasuklah di pulau pelancongan tersohor mereka, Phuket.

image is not available
Ikan goreng kunyit dan bawang putih - Gambar ihsan Rim Talay

Rim Talay sebuah restoran popular di tepi pantai yang terletak di dalam kawasan Hotel Amari Resort di Phuket adalah salah satu restoran mesra Muslim.

Berlokasi di kawasan pantai Patong dengan pemandangan lautan indah, ia sentiasa menjadi pilihan pengunjung yang beragama Islam kerana daging ayam, itk, lembu dan kambing yang digunakan disahkan halal oleh perbadanan Islam Thailand. 

image is not available
Kari ketam Selatan Thailand - Gambar ihsan Rim Talay

Jadi jika pengunjung yang beragama Islam teringin merasa makanan yang mengandungi daging bolehlah memesan menu yang mempunyai kandungan daging yang disebutkan tadi.

Dan sebagai sebuah pulau sudah tentu mereka juga terkenal dengan makanan laut mereka.

image is not available
Daun melinjo tumis telur - Gambar ihsan Rim Talay

Malah sajian lauk-pauk mereka tidak banyak berbeza dengan cita rasa orang Melayu Malaysia.

Antara yang harus dicuba adalah menu tradisional istimewa Phuket. Ini termasuk kari ketam Thailand, udang petai bersama daun melinjo, ikan goreng kunyit dan bawang putih serta banyak lagi. 

 

Dengan majoriti penduduknya yang beragama Islam, mencari makanan dengan ramuan halal semestinya sangat mudah di negara ini. Apatah lagi di ibu negara mereka Jakarta.

image is not available
Set 'Afternoon Tea' - Gambar ihsan Alice

Kini menjadi lokasi popular di kawasan pusat perniagaan Jakarta Selatan, restoran penuh gaya yang bernama Alice ini menjadi tumpuan warga kota mereka untuk menjamu selera dan juga bergambar! 

Terilham dari kisah dongeng popular Alice In Wonderland nukilan penulis tersohor British Lewis Carroll, restoran ini menyajikan makanan berkonsep Eropah yang lazat.

image is not available
Chicago Burger - Gambar ihsan Alice

Baru dibuka pada bulan Mac 2022, Alice terkenal dengan beberapa hidangan lazat termasuk menu minum petang mereka selain sajian burger dengan daging lembu Wagyu, salmon dan sos mentega, serta macam-macam lagi. 

Tidak ketinggalan adalah pemanis mulut mereka seperti kek coklat Valrhona, rose macarons merah jambu serta banyak lagi. - Getaran, 18 Jun 2022

image is not available
Salmon dengan beurre blanc - Gambar ihsan Alice