

3 Tips Urus Pemikiran Negatif: Kepala ‘Bising’, Minda Tak Tenang Itu Normal
Baru-baru ini, media tempatan melaporkan bahawa lebih daripada 2,000 individu di Selangor mengalami gangguan mental.
Mental sebenarnya berkaitan dengan pemikiran, sama ada pemikiran positif mahupun negatif.
Sebagaimana yang kita ketahui, ‘berfikir’ adalah tabiat biasa manusia. Begitu juga dengan pemikiran negatif yang dialami oleh setiap individu.
Apa yang membezakan setiap individu adalah bagaimana individu tersebut mengawal ‘permainan’ fikirannya.
Bagi individu yang sihat emosinya, pemikiran negatif datang dan pergi sebagai lintasan dalam hati.
Namun, bagi sesetengah individu, mereka terus tenggelam dalam pemikiran yang tidak sihat ini sehingga memberi kesan pada fizikal seperti badan penat, mental lesu, dan susah tidur.
Jika ini berlebihan dan berlarutan sehingga mengganggu rutin harian, ia boleh menjadi masalah besar.
Disebabkan pemikiran ini bermain dalam kepala, minda tidak dapat ‘bebas’ daripada keserabutan. Akhirnya, kepala terus ‘bising’ dan minda susah untuk bertenang.
3 Tips Urus Pemikiran Negatif
Menurut pakar psikologi klinikal, Aiman, terdapat tiga cara praktikal untuk mengurus pemikiran negatif yang sering menghantui kita.
Pertama, penting untuk kita memahami corak pemikiran negatif yang ada dalam diri.
Ibarat kata pepatah, sebelum menewaskan musuh, kita perlu mengenali mereka terlebih dahulu.
Kenal pasti jenis pemikiran negatif yang sering muncul dalam minda. Tanyakan pada diri kita:
“Adakah pemikiran ini membantu aku?”
“Adakah pemikiran ini berdasarkan realiti atau sekadar persepsi aku saja?”
“Adakah terdapat alternatif atau sudut pandang lain mengenai isu ini?”
Kedua, kita perlu belajar untuk ‘berhenti’ sebentar.
Seperti yang dijelaskan oleh Aiman, banyak berfikir boleh memenatkan, jadi penting untuk kita belajar bertenang.
Ketika mengalami overthinking, minda kita sibuk berhadapan dengan ‘ancaman’ yang sebenarnya mungkin tidak wujud.
Latihan pernafasan adalah satu cara yang berkesan untuk membantu kita.
Ia boleh meredakan otot-otot yang menegang, memperlahankan degupan jantung yang laju, dan menenangkan emosi yang bercelaru.
Ketiga, ‘keluar’ daripada suasana yang sedang dialami.
Mengubah persekitaran luaran kita boleh membantu mengubah ‘dalaman’ kita juga.
Lakukan apa sahaja yang boleh untuk ‘keluar’ sebentar daripada keadaan yang sedang dihadapi.
Misalnya, pergi ke bilik air dan mandi, tinggalkan bilik dan makan di dapur, atau keluar rumah untuk menikmati angin segar.
Semua ini dapat memberikan kita perspektif baru dan membantu menenangkan minda.
Dalam pada itu, Aiman berkata, jika simptom overthinking ini semakin melarat dan berlarutan serta pelbagai teknik yang dilakukan masih tidak membantu, adalah penting untuk mendapatkan bantuan profesional daripada mereka yang terlatih.
Contohnya seperti kaunselor, psikologis klinikal atau doktor psikiatri.

Kadang-kadang, kita tidak sedar bahawa diri kita sebenarnya mengalami masalah besar yang melibatkan pemikiran negatif.
Malah, kita juga mungkin tidak perasan bahawa orang terdekat seperti rakan dan keluarga mengalami masalah yang sama.
Namun, kita tidak boleh menutup sebelah mata kerana menangani masalah ini penting untuk membantu kita menjalani kehidupan yang lebih tenang dan bahagia.
Semoga perkongsian ini bermanfaat kepada semua.
Sumber: Aiman Psikologi via Instagram
The post 3 Tips Urus Pemikiran Negatif: Kepala ‘Bising’, Minda Tak Tenang Itu Normal appeared first on Siakap Keli.
