3 wanita maut ketika dalam perjalanan pulang dari Muktamar PAS

20 Oct 2023 • 8:37 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Tiga perwakilan Muslimat PAS yang dalam perjalanan pulang ke Sungai Petani, Kedah, selepas menghadiri Muktamar Tahunan PAS ke-69, maut apabila terlibat dalam kemalangan jalan raya di Kilometer (KM) 390 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS), arah utara dekat Behrang pada 2.30 petang tadi.

Muktamar berkenaan diadakan di Ideal Convention Centre (IDCC), Shah Alam.

Menerusi laman X Timbalan Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man, mangsa dikenali sebagai Ketua Dewan Muslimat Sungai Petani, Taibah Sulaiman; Ketua Ameerah PAS Sungai Petani, Fatihah Nabilah dan Penolong Setiausaha 1 Dewan Muslimat PAS Sungai Petani, Najihah Amzi.

"Moga ahli keluarga diberikan ketabahan dan kesabaran atas ujian ini. Dijemput Ilahi pada hari Jumaat barakah, Allah SWT pasti memberikan husnul khatimah, ganjaran baik dan mulia buat mereka," katanya.

image is not available
Ketiga-tiga wanita tersebut dilanggar sebuah kereta ketika sedang membantu sebuah kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan sebelum itu - Gambar media sosial, 20 Oktober, 2023

Dalam pada itu, Pengerusi Tetap Muktamar, Senator Hussin Ismail berkata, ketiga-tiga wanita tersebut dilanggar sebuah kereta ketika sedang membantu sebuah kenderaan lain yang terlibat dalam kemalangan sebelum itu.

“Mereka melihat sebuah kereta yang terlibat dalam kemalangan dan kemudian berhenti di tepi lebuh raya untuk membantu.

“Bagaimanapun ketika mereka cuba membantu, tiba-tiba dilanggar sebuah kereta lain,” katanya yang dipetik dari Harakah Daily.

Jelasnya, Taibah dan Fatihah maut di tempat kejadian manakala Najihah meninggal dunia ketika dalam perjalanan menuju ke hospital. – 20 Oktober, 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved