30 Guru, Pelajar Terselamat Bas Dinaiki Terbalik

5 Feb 2023 • 6:02 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Siasatan polis mendapati kejadian berlaku apabila bas terbabit cuba memotong beberapa kenderaan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan - Gambar Polis Bentong

KUALA LUMPUR – Pantang maut sebelum ajal, tiga guru dan 27 pelajar terselamat selepas bas dinaiki mereka terbabas dan terbalik di Kilometer 20.2 Jalan Bentong menghala ke Raub, malam semalam.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.20 malam itu, pemandu bas, iaitu seorang lelaki tempatan berusia 32 tahun yang patah tangan kanan parah, manakala empat pelajar mengalami cedera ringan.

Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar berkata, baki pelajar dan guru dari sebuah sekolah di Kuala Lipis yang turut menaiki bas sama, tidak mengalami sebarang kecederaan.

Menurutnya, siasatan polis mendapati kejadian berlaku apabila bas terbabit cuba memotong beberapa kenderaan sebelum terbabas dan melanggar besi penghadang jalan.

“Bas tersebut kemudiannya masuk ke dalam parit dan terbalik di sisi kanan di lokasi kejadian.

“Akibat kemalangan itu, pemandu bas patah tangan kanan dan dihantar ke Hospital Bentong untuk mendapatkan rawatan bersama empat pelajar yang cedera,” katanya menerusi kenyataan hari ini.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 43 Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987.

“Kami memohon kerjasama orang ramai yang melihat kejadian untuk tampil membantu siasatan.

“Polis juga menasihatkan semua pengguna jalan raya supaya sentiasa memandu secara berhati-hati, selain pastikan kenderaan dipandu diselenggara dengan baik serta selamat,” katanya. - Getaran, 5 Februari 2023

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved