30 pelajar Sabah terima tajaan pendidikan Muis

LocalPolitics
29 Sep 2025 • 4:08 PM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

Kota Kinabalu: Seramai 30 pelajar Sabah akan berangkat ke Mesir bagi melanjutkan pengajian di Universiti Al-Azhar dengan tajaan Majlis Ugama Islam Sabah (Muis) melalui Dana Zakat dan Fitrah.

Kumpulan yang terdiri daripada 15 pelajar dalam bidang Syariah Islam, 11 dalam bidang Usuluddin, tiga dalam bidang Qiraat dan seorang dalam bidang Bahasa Arab.

Exco Agama Islam Datuk Dr Mohd Arifin Mohd Arif berkata setiap seorang pelajar menerima tajaan RM9,000 setahun selama tempoh pengajian termasuk tiket penerbangan serta wang saku RM2,000.

“Setakat ini bilangan pelajar-pelajar Sabah di bawah tajaan Dermasiswa Muis (Zakat) yang sedang menuntut di Mesir adalah seramai 159 orang daripada jumlah keseluruhan 243 orang.

“Matlamat daripada dasar penajaan ini bagi melahirkan lebih ramai anak-anak Sabah berpendidikan tinggi dalam bidang pengajian Islam serta mahir dan pakar dalam bidang diceburi.

“Semua pelajar tajaan kita yang tamat pengajian ini telah bekerja dalam bidang pendidikan termasuk berkhidmat dengan agensi-agensi di bawah kerajaan negeri seperti Muis dan Jheains,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Meraikan 30 Anak Sabah Yang Melanjutkan Pengajian Di Mesir pada Ahad.

Hadir sama Yang Di Pertua (YDP) Muis Datuk Seri Yahya Hussin dan Pengarah Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sabah (Jheains), Datuk Jumain Abd Ghani.

Dalam pada itu Mohd Arifin menyatakan Muis bercadang menjadikan Sabah sebagai Pusat Keilmuan Kefatwaan di nusantara menerusi kerjasama dengan Kementerian Fatwa Mesir dikenali sebagai Darul Iftah.

Bagaimanapun beliau berkata perkara itu masih di peringkat perbincangan dengan Darul Iftah dan jika berjaya satu Memorandum Persefahaman (MoU) akan ditandatangan bersama badan Fatwa Mesir dan Universiti Al Azhar.

“Selain Pusat Keilmuan Kefatwaan perbincangan dengan Darul Iftah juga melibatkan pelaksanaan program keilmuan Fatwa untuk pelajar Sabah yang menuntut di Mesir ketika ini.

“Kita ingin menjadikan Sabah sebagai hab latihan kefatwaan bukan saja untuk Malaysia tetapi juga Brunei dan Indonesia serta negara sekitar lainnya di rantau ini,” katanya.