
KUALA LUMPUR – Seramai 30 pelajar Sekolah Bina Insan (SBI) berlepas ke Tanah Suci di bawah program kembara khas dikenali sebagai Mukhayyam Madinah 2023 pada Isnin.
Difahamkan ini kali kedua program membabitkan institusi pendidikan tahfiz swasta milik Yayasan MSU berkenaan diadakan selepas kejayaan program yang sama pada tahun 2022.
Pemergian pelajar lelaki dan perempuan yang turut disertai oleh tiga bekas pelajar dan tiga orang guru pengiring SBI, dikendalikan oleh MKM Ticketing Travel & Tours (MKM) sebuah syarikat pelancongan dan pengendali umrah dan haji tempatan.
Program khas berkenaan ditaja Pengerusi YMSU, Profesor Tan Sri Dr Mohd Shukri Ab Yajid dan juga ibu bapa pelajar yang terlibat.
Sepanjang program selama 19 hari, para pelajar SBI bakal berpeluang mengikuti pengajian Talaqi al-Quran dan bahasa Arab dengan ilmuwan di Masjid Nabawi Madinah selain menunaikan ibadah umrah di Makkah.
Sementara itu, Pengarah MKM, Abdul Hadi Abdul Raman berterima kasih kepada pihak YMSU kerana memberikan kepercayaan kepada syarikat untuk turut serta menjayakan program ini.
“Saya dan pihak syarikat menghargai peluang yang diberikan (Tan Sri) Dr Mohd Shukri untuk mengendalikan program kembara ini,” katanya.
Abdul Hadi menyifatkan program anjuran YMSU mampu memberikan manfaat besar kepada para pelajar SBI yang terlibat melalui pendedahan lebih luas dalam pengajian berkenaan di peringkat luar negara.
