
KOTA BELUD: Seramai 30 individu termasuk pengunjung berdepan detik cemas selepas terperangkap akibat kejadian banjir di pusat pelancongan Kampung Kaung Malaan di sini, petang tadi.
Difahamkan, kejadian kira-kira jam 2.30 petang itu, kawasan pelancongan terbabit dilaporkan tiba-tiba dinaiki air ekoran kejadian 'kepala air' ketika hujan lebat.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Daerah Kota Belud, Muhammad Syazwan Latun berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian pada jam 2.46 petang.
Katanya, susulan laporan terbabit, seramai lima anggota dan pegawai bergegas ke lokasi kejadian beserta satu kenderaan utiliti pacuan empat roda dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan.
"Sebaik tiba, difahamkan seramai 20 pengunjung dan 10 kakitangan pusat pelancongan yang terperangkap sudah berpindah ke tempat selamat sebelum ketibaan pasukan bomba".
"Pihak bomba seterusnya bertindak memastikan semua mangsa terlibat dalam keadaan selamat," katanya dihubungi Harian Ekspres.
Menurutnya, pasukan bomba kemudiannya menjalankan pemeriksaan lokasi bagi memastikan tiada bahaya lain.
"Sebaik paras air sungai kembali surut, semua mangsa kembali ke rumah masing-masing".
"Tiada mangsa dilaporkan cedera manakala operasi ditamatkan pada jam 4.22 petang," jelasnya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.


