LUBOK ANTU - Pembangunan 30 Projek Tanam Semula Berkelompok (TSB) di daerah Lubok Antu bermula tahun 2013 menjadi fokus Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) Sarawak dalam memperkukuh sektor industri getah di negeri ini.
Pengerusi RISDA, Manndzri Nasib berkata, pembangunan projek TSB ini mencerminkan iltizam Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) menerusi RISDA dalam memastikan komuniti desa terus dibantu menerusi pembangunan yang strategik, mampan dan berimpak.
“Usaha ini menumpukan pembangunan penanaman getah, selain membuka ruang kepada pekebun kecil untuk meningkatkan pendapatan melalui aktiviti ekonomi, pembangunan institusi dan program peningkatan produktiviti getah,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika merasmikan Program Kemakmuran Pekebun Kecil Peringkat RISDA Negeri Sarawak Tahun 2026 di Rumah Budit, Nanga Beretik, Lubok Antu, Sarawak.
Hadir sama, Ahli Parlimen Lubok Antu, Roy Angau anak Gingkoi dan Pengarah RISDA Sarawak, Shaharuddin Saberi.
Manndzri berkata, pembangunan sektor pekebun kecil hari ini tidak lagi dilihat dari sudut penyaluran bantuan, sebaliknya digerakkan sebagai usaha membina ekosistem ekonomi desa produktif, berdaya tahan dan mampu memanfaat langsung kepada rakyat.
Berdasarkan rekod pembangunan RISDA di Lubok Antu, keseluruhan kawasan bertanam getah di kawasan ini melibatkan 1,377 hektar dengan 996 lot, merangkumi 308 lot getah muda seluas 359 hektar dan 688 lot getah matang seluas 1,017 hektar.
Dalam masa sama, program agromakanan di kawasan itu melibatkan 22 penerima manfaat dengan peruntukan RM399,000 manakala keusahawanan melibatkan 17 penerima melalui peruntukan RM170,000.
Bagi tahun 2026, RISDA Sarawak diperuntukkan RM17.83 juta bagi Program Tanam Semula Getah melibatkan sasaran 1,450 hektar, sebagai komitmen memperkukuh pembangunan pekebun kecil di negeri ini.
Ujar beliau lagi, usaha itu seiring dengan hala tuju KKDW di bawah kepimpinan Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, dalam memperkukuh pembangunan desa, meningkatkan produktiviti dan memperluas peluang ekonomi desa.
Pembangunan TSB di Lubok Antu turut menyokong RISDA untuk mengembalikan martabat Malaysia sebagai pengeluar utama getah dunia, dengan sasaran pengeluaran satu juta metrik tan menjelang akhir 2030.
Sasaran ini turut diperkasa RISDA dengan pewujudan inisiatif sebagai pembeli hasil getah utama yang menyediakan akses pemasaran strategik hasil kepada pekebun kecil termasuklah di negeri ini.
“Komuniti pekebun kecil merupakan nadi penting kepada rantaian industri getah. Pembangunan kawasan seperti Lubok Antu ini perlu terus diperkukuh agar mampu menyumbang kepada peningkatan hasil dan daya saing sektor getah negara,” katanya.
Usaha itu turut mendukung pembangunan desa melibatkan komuniti pekebun kecil getah melalui agenda Ekonomi Desa Nasional KKDW, selaras aspirasi pemerkasaan Bumiputera menerusi Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35).
Dengan dokongan dan komitmen KKDW, RISDA serta kerjasama komuniti setempat, pembangunan projek TSB di negeri ini dilihat mampu menjadi pemangkin kepada peningkatan hasil, pengukuhan pendapatan keluarga serta masa depan komuniti desa dan pekebun kecil yang sejahtera.
