30 rumah terjejas air pasang besar di Kuala Kedah

11 Sep 2022 • 4:23 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Beberapa gerai makanan di Kuala Kedah terjejas akibat fenomena air pasang besar. FOTO APM KOTA SETAR

image is not available
Anggota APM memantau air pasang besar di perairan Kuala Kedah pada Ahad. - Foto APM Kota Setar

image is not available
Anggota APM memantau keadaan kediaman penduduk yang terjejas akibat fenomena air pasang besar di Kuala Kedah. - Foto APM Kota Setar

ALOR SETAR - Kira-kira 30 buah rumah dan beberapa kedai terjejas akibat fenomena air pasang besar di sekitar Kuala Kedah pada Ahad.

Pegawai Pertahanan Awam Daerah Kota Setar, Kapten (PA) Norlizawati Ismail berkata, anggota Angkatan Pertahanan Awam (APM) telah menjalankan pemantauan di Jeti Kuala Kedah, Pasar Marina Kota Nelayan dan Jalan tok Pasai.

Menurutnya, pemantauan telah dilakukan pada jam 1 petang hingga 1.55 petang dan keadaan masih lagi terkawal.

"Bacaan yang dicatatkan pada jam 1.22 petang pada Ahad menunjukkan paras air setinggi 2.95 meter iaitu lebih tinggi dari paras ramalan 2.9 meter.

"Paras air menunjukkan peningkatan kesan dari air pasang besar. Terdapat rumah penduduk dan gerai-gerai yang terjejas, namun keadaan masih lagi terkawal," katanya dalam satu kenyataan pada Ahad.

Norlizawati berkata, pemantauan oleh anggotanya juga mendapati keadaan cuaca tidak berangin dan tidak hujan.

Fenomena air pasang besar yang melanda negeri Kedah dijangka berlaku selama tiga hari yang bermula Sabtu sebelum berakhir pada Isnin.

Antara lokasi lain di negeri ini yang terjejas adalah di Kuala Jerlun di Kubang Pasu, daerah Kuala Muda, Kuala Sala dan Kuala Yan di Yan serta Langkawi.