300 jemaah terkandas di Makkah masih belum hubungi TH: Menteri Agama

17 May 2024 • 5:15 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

image is not available

KUALA LUMPUR - Seramai 300 bakal jemaah haji yang dilapor terkandas di Makkah masih belum menghubungi Lembaga Tabung Haji (TH) bagi membolehkan institusi yang mengurus serta menyediakan perkhidmatan haji itu menjalankan siasatan serta tindakan lanjut.

Perkara itu disahkan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd Na’im Mokhtar ketika dihubungi Scoop mengenai keadaan semasa nasib bakal jemaah berkenaan yang didakwa terpedaya dengan pakej murah mengerjakan ibadah itu yang ditawarkan agensi pelancongan tidak bertanggungjawab.

Malah menurut beliau, jemaah berkenaan juga difahamkan masih belum menghubungi Kedutaan Malaysia termasuk Konsulat Malaysia di Jeddah bagi mendapatkan sebarang bentuk bantuan.

“Masih belum ada contact (hubungan) daripada mangsa. Kita hanya boleh tahu kalau ada mangsa yang hubungi TH di sana (Arab Saudi) untuk dibantu,” katanya hari ini.

Mohd Na’im berkata, tindakan jemaah berkenaan ‘mendiamkan diri’ menyukarkan TH dan pihak berkuasa lain untuk bertindak.

Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) melalui TH sentiasa memberi peringatan saban tahun kepada umat Islam di negara ini, supaya lebih berhati-hati dengan sebarang tawaran pakej murah ditawarkan segelintir agensi pelancongan tidak dilesenkan kerajaan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, kerjasama itu dilakukan berdasarkan maklumat terperinci daripada mangsa.

Katanya, jemaah yang terkandas juga diminta membuat aduan atau laporan rasmi ke TH dan Kedutaan Malaysia di Jeddah, Arab Saudi dengan segera, bagi membolehkan siasatan lanjut dilakukan.

Terdahulu, kira-kira 300 bakal jemaah haji yang berada di Makkah, dilapor terkandas apabila agensi yang mengurus perjalanan kumpulan itu, gagal mendapatkan kebenaran untuk mereka mengerjakan ibadah berkenaan pada musim ini.

Kumpulan itu menyedari mereka diperdaya selepas mendapati pakej murah ditawarkan agensi terbabit, menggunakan visa pelancong bagi menunaikan ibadah itu. - 17 Mei, 2024