300 peniaga dijangka sertai Kaloot Fest Raya pada April ini

15 Feb 2023 • 3:26 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

SHAH ALAM: Kira-kira 300 peniaga dari seluruh negara melibatkan 260 gerai jualan dijangka akan menyertai Kaloot Fest Raya, festival beli-belah raya yang bakal diadakan pada 14 hingga 16 April ini di Pusat Konvensyen Setia City (SCCC), di sini.

Pengarah Urusan Arena Vision Management Hurriyah Alhusna Mohd Nashim selaku penganjur festival itu berkata pihaknya menyasarkan seramai 200,000 pengunjung terutamanya dari Shah Alam, Klang dan Kuala Selangor akan mengunjungi acara itu sejajar dengan pemilihan lokasi baharu festival tersebut.

“Pada tahun lepas, seramai lebih 10,000 pengunjung hadir pada festival itu yang berlangsung selama sembilan hari di perkarangan Stadium Shah Alam dan disertai kira-kira 100 peniaga.

“Pemilihan SCCC sebagai lokasi baharu yang lebih selesa adalah sebagai alternatif kepada penduduk terutamanya dari tiga kawasan tersebut untuk mencari kelengkapan bagi sambutan hari raya.

“Tambahan pula, ia di luar dari kesibukan Kuala Lumpur pada musim perayaan,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran festival itu di sini hari ini.

Katanya peluang untuk peniaga menyertai festival itu masih terbuka dan mereka boleh mendaftar di laman sesawang rasmi Kaloot Fest Raya di www.kaloot.com.my sehingga 15 Mac ini atau menghubungi pihaknya di talian 017-605 8347.

Beliau berkata pihaknya turut bekerjasama dengan Angkatan Koperasi Kebangsaan Malaysia Berhad (Angkasa) untuk mengajak usahawan di bawah agensi itu menyertai festival tersebut. -Bernama