301 pusat jagaan berdaftar beroperasi di Petaling Jaya setakat Mei, taska tertinggi

LocalFamily & Parenting
24 Jun 2026 • 12:48 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

301 pusat jagaan berdaftar beroperasi di Petaling Jaya setakat Mei, taska tertinggi

SHAH ALAM, 24 JUN: Sebanyak 301 premis pusat jagaan berdaftar beroperasi di Petaling Jaya setakat Mei lalu dengan taska merekodkan jumlah tertinggi iaitu 123 premis.

Datuk Bandar Petaling Jaya, Dato’ Mohamad Zahri Samingon berkata, selain taska, terdapat 72 premis penjagaan warga emas, 56 pusat jagaan kanak-kanak, 29 pusat penjagaan orang kurang upaya (OKU) manakala selebihnya rumah kebajikan.

Menurutnya, Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) komited bekerjasama dengan pelbagai pihak dalam melaksanakan program signifikan bagi memacu pertumbuhan ekonomi penjagaan selaras Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025-2030.

“Tahun ini, kita bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jabatan Bomba Dan Penyelamat Malaysia serta Jabatan Kesihatan Daerah dalam memperkenalkan Program Sistem Penarafan (Grading) premis taska dan pusat jagaan.

“Ini bertujuan menilai tahap kualiti perkhidmatan, keselamatan dan pematuhan terhadap garis panduan dan syarat kelulusan,” katanya dihubungi Media Selangor.

Image from: 301 pusat jagaan berdaftar beroperasi di Petaling Jaya setakat Mei, taska tertinggi
Datuk Bandar Petaling Jaya Mohamad Zahri Samingon bercakap kepada media selepas Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Petaling Jaya ke-20 di Laman Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) pada 20 Jun 2026. Foto AHMAD ZAKKI JILAN/MEDIA SELANGOR

Katanya lagi, pihaknya juga giat memperkesa Dasar Ekonomi Penjagaan Selangor 2024-2030 ke peringkat tempatan melalui penyediaan Pelan Tindakan Ekonomi Penjagaan Petaling Jaya 2025 - 2030.

Jelasnya, bantuan penyediaan makanan sihat, pemantauan pengambilan ubat-ubatan dan khidmat kesihatan secara berterusan kepada warga emas yang tinggal bersendirian melalui program PJ Food With Love terus diperluas dengan penjenamaan semula kepada PJ Care.

“Program Sehenti juga diteruskan agar tiada lagi keciciran kepada premis taska dan pusat jagaan

tidak berdaftar memperolehi kelulusan dan beroperasi secara sah.

“Program Latihan dan Kompetensi Gunatenaga Penjagaan bagi meningkatkan tahap profesionalisme, kemahiran dan kecekapan pengendali serta penyelia pusat jagaan juga akan dijalankan,” katanya.

Sebelum ini, MBPJ dipilih menjadi pihak berkuasa tempatan (PBT) pertama di Selangor yang melaksanakan pelan tindakan ekonomi penjagaan.

Pelan bagi menyokong Dasar Ekonomi Penjagaan Negeri Selangor (DEPNS) 2024-2030 dilaksanakan kerana Petaling Jaya memiliki populasi mencecah lebih 2.3 juta, sekali gus menjadi antara kawasan padat dan membangun.

Selangor melancarkan DEPNS sebagai persediaan menghadapi situasi negeri menua apabila 8.1 peratus daripada penduduknya berumur 65 tahun ke atas.

Dasar itu memberi tumpuan kepada lima teras utama iaitu advokasi dan promosi, tata kelola dan kawal selia, penjaga terlatih dan tenaga kerja, pelaburan dan kerjasama serta inovasi, teknologi dan data.

Ia menumpu kepada aspek penjagaan warga emas, kanak-kanak dan OKU serta pengukuhan sokongan kepada komuniti penjaga formal dan tidak formal.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved