
Kota Kinabalu: Sebanyak 33 dokumen telah diserahkan kepada peguam mewakili lima remaja yang didakwa di Mahkamah Bagi Kanak-Kanak kerana menggunakan kata-kata menghina terhadap arwah Zara Qairina Mahathir.
Pegawai Perhubungan Awam Mahkamah Negeri Sabah, Cindy Mc Juce Balitus, berkata pihak pendakwaan telah menyerahkan 15 dokumen kepada pesalah kanak-kanak pertama dan 18 dokumen masing-masing kepada empat lagi selaras dengan Seksyen 51A Kanun Tatacara Jenayah.
Dokumen berkenaan, yang akan digunakan semasa perbicaraan, diserahkan kepada peguam kanak-kanak terbabit semasa pengurusan kes praperbicaraan di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen Elsie Primus, pada Khamis.
Cindy turut memaklumkan dalam laporan ringkas bahawa pihak pendakwaan akan menyerahkan lima lagi dokumen tambahan pada prosiding praperbicaraan seterusnya pada 16 Okt.
Dia berkata, permohonan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) untuk hadir sebagai pemerhati turut dibenarkan mengikut Seksyen 12(3)(c) Akta Kanak-Kanak 2001.
Kesemua remaja terbabit dituduh menggunakan kata-kata menghina yang didengar mangsa sehingga menyebabkan gangguan perasaan. Kesalahan itu didakwa berlaku antara jam 10 malam hingga 11 malam, 15 Julai lalu.
Mereka bersama-sama dituduh di bawah Seksyen 507C(1)/34 Kanun Keseksaan kerana kesalahan menggunakan atau membuat apa-apa perkataan atau komunikasi yang mengancam, kesat atau menghina sehingga boleh menyebabkan seseorang berasa terganggu, cemas, takut atau terkejut.
Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara sehingga setahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.
Cindy berkata lagi, tarikh perbicaraan yang ditetapkan sebelum ini iaitu pada 9 hingga 20 Dis akan diteruskan seperti dijadualkan.
Kelima-lima remaja berkenaan dilepaskan dengan jaminan.
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nor Azizah Mohamad, Nik Haslinie Hashim dan Deepa Nair Thevaharan.
Sementara itu, peguam Datuk Ram Singh bersama Joan Goh dan Elmer Prem Gunasan mewakili salah seorang remaja, manakala Azhier Farhan Arisin, Abdul Fikry Jaafar, Fareez Salleh dan Sylyester Kuan mewakili remaja lain.
Bagi pihak ibu arwah Zara, Noraidah Lamat, pasukan peguam terdiri daripada Shahlan Jufri, Rizwandean M. Borhan, Mohd Sharulnizam Mohd Salleh, Luqman Syazwan Zabidi dan Farrah Nasser.
Persatuan Undang-Undang Sabah (SLS) turut hadir sebagai pemerhati.
Prosiding kes ini juga tertakluk kepada perintah larangan bersuara (mengenai prosiding) di bawah Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak yang dipohon oleh Ram pada prosiding lalu.



