
MELAKA - Jabatan Kesihatan Negeri Melaka (JKNM) mendapati seramai 33 individu termasuk pelajar dan guru di sebuah sekolah di negeri ini telah dijangkiti wabak Probable Leptospirosis selepas mengunjungi Kolam Air Panas Bemban, Jasin sejak minggu lalu.
Pengarahnya, Dr Ruzita Mustaffa, berkata, pihaknya menerusi Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka telah menerima notifikasi kejadian itu pada Jumaat lalu yang mana enam kes membabitkan orang awam.
Menurutnya, maklumat awal mendapati sekumpulan pelajar pendidikan khas telah mengalami gejala demam, batuk, selesema dan sakit badan selepas menjalani aktiviti program terapi khas air di kawasan riadah itu pada Rabu lalu.
Beliau berkata, aktiviti itu membabitkan 78 peserta terdiri daripada pelajar, ibu bapa dan guru-guru, namun siasatan segera yang dijalankan mendapati 15 murid, sembilan guru serta tiga orang penjaga telah mengalami gejala berkenaan.
"Setakat ini jumlah keseluruhan kes yang disyaki adalah 33 kes dan kesemua kes masih menunggu keputusan ujian pengesahan.
"Penilaian risiko yang dijalankan juga mendapati lokasi itu mempunyai persekitaran yang kondusif untuk penularan Leptospirosis," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Mengulas lanjut, Ruzita berkata, kesemua individu yang bergejala diberi rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Ayer Keroh manakala seorang penjaga dan empat pelajar telah dimasukkan ke wad Hospital Melaka bagi rawatan lanjut.
"Sampel klinikal bagi Ujian PCR untuk pengesahan diagnosis telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) Sungai Buloh.
"Sementara itu enam kes yang membabitkan orang awam dipercayai mereka berkunjung ke lokasi itu dalam tempoh 7 Jun hingga 11 Jun lalu.
Dalam pada itu, beliau berkata, sebagai langkah kawalan, pusat rekreasi terbabit telah diarahkan ditutup serta-merta selama 14 hari bermula Ahad lalu dan pengusaha diarahkan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan.
"Mereka juga telah diminta untuk menukar air kolam secara kerap dan berjadual, menjaga kebersihan, dan memastikan tiada infestasi tikus atau haiwan pembawa penyakit lain,” katanya.
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

