
BEAUFORT: Seramai 109 Ketua Isi Rumah membabitkan 331 mangsa banjir dipindahkan ke Pusat Pemindahan Kekal (PPK) Selagon berikutan banjir besar yang melanda beberapa kampung di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Lumadan dan Membakut, kata Pegawai Pertahanan Awam, Kapten Hazlee Shah Abd Hamid.
Mangsa berpindah dari 10 kampung terjejas, termasuk Kg Bakalau, Kg Suasa, Kg Bangkalalak, Kg Mentulud, Kg Lubak, Kg Bingkul, Kg Pintas, Kg Jempangah dan Kg Gadong di Klias dan Lumadan, manakala selebihnya dari Kg Baitam di Membakut.
“Operasi menyelamat mangsa banjir dijalankan oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Bomba dan Penyelamat serta Polis Diraja Malaysia, manakala pengurusan PPK dikendalikan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat, Kementerian Kesihatan dan anggota Rela,” katanya.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Beaufort, Ishak Jabas, mengesahkan kebanyakan mangsa yang dipindahkan adalah dari daerah Membakut.
Terdahulu pada Selasa, seramai 20 Ketua Isi Rumah dari Kg Baitam, membabitkan 11 wanita dewasa, sembilan lelaki dewasa, lima warga emas wanita, tiga warga emas lelaki, 12 kanak-kanak perempuan dan 10 kanak-kanak lelaki dengan jumlah keseluruhan 50 orang, berjaya diselamatkan.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada jam 8.45 pagi dan segera menggerakkan pasukan serta aset logistik ke lokasi kira-kira 20 kilometer dari balai. Pasukan bomba menjalankan operasi pemindahan dan membawa semua mangsa ke PPK Selagon menggunakan lori Handalan serta beberapa lori dari IPD Beaufort,” katanya.
Sebanyak 14 lokasi di Membakut turut terjejas banjir, termasuk Pekan Membakut, Kg Baitam Baru, Kg Jambatan Baru, Kg Sungai Damit, Kg Lumantak, Kg Limpayau, Kg Kayai, Kg Brunei, Kg Lampijas, Kg Limbadang, Kg Gana, Kg Bawan, Kg Takapan dan Kg Lumat.
Di Beaufort, paras Sungai Padas meningkat berbahaya sejak beberapa hari lalu daripada 8.70 meter kepada 9.13 meter, mengakibatkan banjir di beberapa kampung sepanjang Lumadan.
Antara kampung yang terjejas di Klias ialah Kg Binunuk, Kg Balibata, Kg Bakalau, Kg Melalugus, Kg Melati, Kg Lumatai, Kg Mempagar, Kuarters SESB, Kuarters Keretapi, Kg Batu 58, Kg Batu 60, Kg Batu 65, Kg Jempagah, Kg Kitalabak Lumatai, Kg Laboi, Kg Bingkul, Kg Mapait, Kg Limbawang, Kg Lajau, Kg Luagan Sanginan, Kg Cina, Kg Kebulu dan Kg Menanjung.
Kampung yang terjejas di Lumadan pula ialah Kg Sungkadan, Kg Batandok Lubak, Kg Lawa, Kg Lago, Kg Suasa, Kg Kangsa, Kg Berumbai, Kg Poring Lupak, Kg Lupak, Kg Bangkalalak, Kg Tuhu, Kg Selinseng, Kg Beringin, Kg Kabajang Ulu, Kg Kukup, Kg Jabang, Kg Mentulud, Kg Lupak Seberang dan Kg Bukau hingga ke Weston.
Ishak memberi amaran bahawa hujan berterusan boleh memburukkan keadaan dan berharap hujan reda, khususnya di kawasan Nabawan, Keningau dan Tenom.

