339 kes demam denggi direkodkan di Melaka sejak Januari

10 May 2023 • 6:02 PM MYT
The Sun Daily
The Sun Daily

For the latest news and features from Malaysia and the rest of the world.

image is not available

MELAKA: Sebanyak 339 kes demam denggi direkodkan di negeri ini bagi tempoh 1 Jan hingga 6 Mei lepas, kata Exco Kesihatan Sumber Manusia dan Perpaduan Melaka Ngwe Hee Sem.

Bagaimanapun, beliau berkata keadaan tersebut adalah terkawal dengan Melaka berada di kedudukan ke-13 berbanding negeri-negeri di seluruh negara.

Katanya bagi Minggu Epidemiologi (ME) ke-18 iaitu 30 April hingga 6 Mei sebanyak 18 kes dilaporkan iaitu 12 di daerah Melaka Tengah, Alor Gajah ( satu kes) dan Jasin (empat kes).

“Namun, terdapat satu wabak denggi aktif melibatkan lokaliti di Jalan Sekolah Padang Temu yang merekodkan enam kes hingga semalam melibatkan tiga lelaki dan tiga wanita berumur antara 19 hingga 60 tahun.

“Aktiviti kawalan telah dijalankan oleh Pejabat Kesihatan Daerah Melaka Tengah dan penduduk setempat juga dinasihatkan agar mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran jika mengalami tanda-tanda demam denggi,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan lawatan ke lokaliti wabak denggi di Padang Temu di sini hari ini.

Menurut Hee Sem masyarakat di negeri ini juga dinasihatkan agar lebih peka dengan keadaan persekitaran masing-masing kerana pelbagai jenis bekas seperti bahan buangan, sampah bekas minuman dan makanan serta barang lusuh berpotensi menakung air sekali gus menjadi tempat pembiakan nyamuk aedes.

“Kita minta penduduk meluangkan masa setiap minggu untuk cari dan musnahkan tempat pembiakan aedes dalam dan luar rumah masing-masing.

“Jabatan Kesihatan negeri juga akan bersama-sama dengan agensi lain termasuk pihak berkuasa tempatan (PBT) mengadakan program gotong-royong bagi membersihkan kawasan kejiranan untuk mencegah dan menghapuskan pembiakan nyamuk aedes,” katanya. -Bernama