HULU SELANGOR: Seramai 34 individu daripada empat kumpulan terlibat dalam kejadian kepala air di Sungai Pertak di sini, semalam.
Daripada jumlah itu, 19 mangsa berjaya diselamatkan, manakala lapan lagi dihanyutkan arus deras.
Operasi mencari dan menyelamat (SAR) masih diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa yang belum ditemukan.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Wan Md Razali Wan Ismail berkata, berdasarkan maklumat awal, kumpulan pertama terdiri daripada lima individu termasuk seorang warga Yaman, Al Maamari Ahmed Hadi Ali, 20, yang dihanyutkan arus, manakala empat lagi berjaya menyelamatkan diri.
Katanya, kumpulan kedua pula membabitkan 14 individu dan daripada jumlah itu, tiga berjaya menyelamatkan diri, empat diselamatkan anggota bomba di lokasi kejadian manakala tujuh lagi dilaporkan dihanyutkan arus.
“Antara mangsa yang dihanyutkan dalam kumpulan kedua ialah Kunjanmalayil Bhaskaran, 35; Chinnasamy Duraimurugan, 36; Monikkoth Raghunath, Kapali, 49; serta Vijayan A/L Vendachalapathy, 36, yang merupakan warga Malaysia.
“Dua lagi mangsa dalam kumpulan itu masih belum dikenal pasti identitinya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, kesemua tujuh individu dalam kumpulan ketiga berjaya diselamatkan anggota bomba di lokasi kejadian.
Kumpulan keempat yang terdiri daripada lapan individu turut berjaya diselamatkan.
“Secara keseluruhan, seramai 19 mangsa berjaya diselamatkan pihak bomba, manakala lapan lagi dilaporkan dihanyutkan arus.
“Operasi SAR masih diteruskan bagi mengesan tiga lagi mangsa yang belum ditemukan,”jelasnya. – UTUSAN
The post 34 individu terbabit kejadian kepala air, 19 terselamat appeared first on Utusan Malaysia.





