34 petugas kesihatan dijangkiti Ebola, tujuh meninggal dunia

Health & Fitness
6 Jun 2026 • 1:20 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

34 petugas kesihatan dijangkiti Ebola, tujuh meninggal dunia

ADDIS ABABA, 6 JUN: Sebanyak 34 petugas kesihatan dijangkiti virus Ebola setakat ini, dengan tujuh daripadanya meninggal dunia manakala enam lagi pulih, menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit Afrika (Africa CDC) dan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).

Pada sidang media maya bersama Africa CDC dan WHO pada Jumaat, Ketua Pengarah Africa CDC Jean Kaseya berkata sebanyak 397 kes Ebola telah disahkan melalui ujian makmal di Republik Demokratik Congo (DRC) dan Uganda, dengan 381 kes di DRC dan 16 kes di Uganda. Jumlah kematian akibat kes disahkan kini mencecah 63 orang, termasuk seorang di Uganda.

Beliau berkata lapan pesakit telah dibenarkan keluar dari pusat rawatan selepas pulih daripada penyakit itu, termasuk enam di DRC dan dua di Uganda.

Menurut Kaseya, Wilayah Ituri di timur DRC kini menjadi pusat penularan wabak, merangkumi 90 peratus kes disahkan dan 76 peratus kematian.

Susulan penularan wabak yang semakin buruk, Presiden DRC Felix Tshisekedi pada Jumaat melantik Kasongo Mulumba Batoka Gaby sebagai gabenor tentera baharu bagi Wilayah Ituri.

Sementara itu, Africa CDC dan WHO menekankan cabaran operasi utama termasuk kekurangan rawatan perubatan yang tersedia bagi strain Ebola Bundibugyo, infrastruktur kesihatan yang lemah serta tekanan terhadap sistem kesihatan yang sudah berdepan pelbagai kecemasan kesihatan.

Kedua-dua institusi itu berkata kekangan sumber, mobiliti penduduk yang tinggi, isu keselamatan dan perpindahan penduduk, jangkitan dalam kalangan petugas kesihatan, selain maklumat palsu dan ketidakpercayaan masyarakat, turut memburukkan keadaan.

Bagi memperkukuh penyelarasan usaha membendung wabak, kedua-dua institusi itu melancarkan pelan kesiapsiagaan dan tindak balas wabak Ebola peringkat benua semasa sidang media berkenaan, dengan sasaran mengumpul dana US$518 juta bagi membantu negara Afrika membuat persediaan, mengesan dan bertindak balas secara pantas terhadap wabak itu bagi tempoh Jun hingga November.

View Original Article
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved