
Kota Kinabalu: Kerajaan Negeri menyalurkan bantuan kepada 36 ketua isi rumah (KIR) yang layak di Kg Tanjung Aru Baru, Tanjung Aru di sini, untuk membina semula dan membaiki rumah bertiang mereka yang terjejas akibat ombak kuat dalam fenomena air pasang besar baru-baru ini.
Tiga KIR masing-masing akan menerima bantuan RM20,000 untuk membina semula rumah mereka yang musnah sepenuhnya, manakala 33 KIR lagi akan menerima bantuan RM10,000 untuk membaiki rumah mereka yang rosak.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata demikian kepada media ketika ditemui selepas beliau menyerahkan bantuan tunai bencana alam bernilai RM1,000 kepada setiap 36 KIR dalam satu majlis penyampaian singkat di balai raya kampung itu, pada Selasa.
Beliau turut meninjau tapak paling terjejas akibat ombak kuat daripada fenomena itu yang berlaku pada 22 Dis.
“Kerajaan berharap bantuan ini dapat membantu meringankan beban mangsa,” kata Hajiji.
Turut hadir Menteri Pembangunan Masyarakat dan Kesejahteraan Rakyat Datuk Ir Shahelmey Yahya, Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Sr Haji Safar Untong, Pembantu Menteri kepada Ketua Menteri Datuk Abidin Madingkir, Mayor Kota Kinabalu Datuk Noorliza Awang Alip, Setiausaha Hal Ehwal Dalam Negeri dan Penyelidikan Datuk Ag Shahminan Datuk Haji Ag Sahari dan Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Tanjung Aru Mohd Reduan Aklee.
Ketika ditanya mengenai mangsa air pasang besar di Kampung Forest di Sandakan, Hajiji berkata Kerajaan Negeri masih menunggu laporan daripada Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Sandakan.
“(Kerana) terdapat pandangan yang berbeza di sana. Salah satunya ialah mereka tidak mahu membina semula rumah di tapak terjejas, jadi kita sedang mencari tapak baharu dan sesuai...jadi kita tunggu laporan barulah kita putuskan bantuan yang akan diberikan,” katanya.
Pada 24 Dis, kira-kira 500 orang di Kampung Forest kehilangan tempat tinggal selepas air pasang besar memusnahkan 70 rumah bertiang atas air.
Ombak kuat turut melanda beberapa rumah di Jambatan 5, Kampung Tinusa 2, di daerah sama.
Beberapa hari kemudian, 38 lagi rumah bertiang atas air di Kampung Forest runtuh akibat air pasang, menjadikan jumlah keseluruhan rumah terjejas kepada 108.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

