36 pelajar Indonesia sertai Program Pemerkasaan Bahasa Arab di Malaysia

2 Aug 2026 • 1:38 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: 36 pelajar Indonesia sertai Program Pemerkasaan Bahasa Arab di Malaysia

PUTRAJAYA: Seramai 36 pelajar dari Sekolah Tinggi Islam Darul Arafah (Darul Arafah) Medan, Sumatera Utara, Indonesia bakal mengikuti Program Pemerkasaan Bahasa Arab selama 14 hari dianjurkan hasil kerjasama Universiti Antarabangsa Al-Madinah (MEDIU), Restu International College.

Program julung kali itu bertujuan memperkukuh penguasaan bahasa Arab dalam kalangan pelajar yang sedang membuat persediaan untuk melanjutkan pengajian ke institusi pengajian tinggi terkemuka dunia Islam termasuk Universiti Al-Azhar, Mesir.

Pengarah, Pusat Pengajian Persediaan dan Bahasa, MEDIU, Dr. Nur Farhana Mohamad Zainol berkata, peserta akan mengikuti latihan intensif bahasa Arab di MEDIU yang memberi tumpuan kepada empat kemahiran iaitu membaca, menulis, bertutur dan mendengar.

Beliau berkata, sepanjang tempoh dua minggu itu, pelajar akan dibimbing oleh beberapa pensyarah berpengalaman termasuk tenaga akademik MEDIU dan pakar bahasa Arab dari dalam serta luar negara.

“Program ini dirangka secara intensif bagi memastikan peserta memperoleh manfaat maksimum dalam tempoh singkat. Selain mengukuhkan penguasaan bahasa Arab, mereka juga akan didedahkan kepada elemen sastera bahasa Arab serta penggunaan bahasa dalam situasi sebenar.

“Pelajar akan mengikuti sesi pembelajaran selama beberapa jam setiap hari dengan penekanan kepada aspek komunikasi dan aplikasi bahasa secara langsung,” katanya ketika ditemui semalam.

Semalam, pelajar berkenaan meluangkan masa kira-kira dua jam di Kompleks Nasyrul Quran di sini
bagi mendalami pengajian al-Quran dan dakwah serta menghayati proses disebalik penerbitan dan percetakan al-Quran.

Katanya, pada hari ke-13 program, pelajar akan menduduki peperiksaan standard bahasa Arab dikenali sebagai Ikhtibar Hamzah yang berfungsi seperti IELTS dan TOEFL, namun khusus untuk mengukur tahap penguasaan bahasa Arab.

Sementara itu, Pensyarah Bahasa Arab Darul Arafah, Prasilo Heri Yudanta berkata, program ini adalah langkah pertama ke arah memperkukuh hubungan kerjasama antara institusinya dengan MEDIU dan Restu International College.

Beliau berkata, Darul Arafah yang ditubuhkan pada 1985 kini mempunyai kira-kira 1,500 pelajar dan merupakan antara institusi pendidikan Islam yang berpengaruh di Sumatera Utara.

“Kami amat menghargai sambutan dan kerjasama yang diberikan. Program ini diharapkan menjadi permulaan kepada lebih banyak bentuk kolaborasi pada masa hadapan dalam bidang pendidikan, bahasa dan pembangunan modal insan.

“Insya-Allah, selepas kumpulan pelajar lelaki yang mengikuti program pada Ogos ini, program sama akan diteruskan untuk pelajar perempuan pada September nanti,” katanya. – UTUSAN

The post 36 pelajar Indonesia sertai Program Pemerkasaan Bahasa Arab di Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved