Hanya kerana sebilah gunting hilang di sebuah kedai berhampiran balai perlepasan lapangan terbang di Jepun, sebanyak 36 penerbangan dibatalkan manakala 201 penerbangan mengalami kelewatan.
Pemeriksaan keselamatan di terminal domestik Lapangan Terbang New Chitose, Hokkaido terpaksa dihentikan selama kira-kira dua jam pada pagi Sabtu, menyebabkan ratusan pelancong terkandas buat sementara.
Susulan itu, terdapat kesesakan dan barisan panjang ketika penumpang di ruang pelepasan terpaksa melalui pemeriksaan keselamatan semula.
“Pihak berkuasa cuba mencari gunting yang hilang, namun akhirnya ditemukan di kedai yang sama keesokan harinya,” lapor BBC.
Walaupun gunting tersebut tidak ditemui pada hari Sabtu (hari kejadian) pemeriksaan keselamatan dan penerbangan akhirnya disambung semula pada hari yang sama.
Dalam pada itu, pihak lapangan terbang mengumumkan penemuan gunting tersebut oleh seorang pekerja kedai berkenaan pada hari Ahad. Pihak berkuasa menjelaskan bahawa mereka menunggu untuk membuat pengumuman sehingga mereka mengesahkan bahawa gunting tersebut adalah yang hilang.
Sementara itu, para pelancong pasrah dengan apa yang berlaku demi keselamatan mereka. Dalam pada masa sama, mereka memuji pihak lapangan terbang yang mengutamakan keselamatan penumpang.
Lapangan terbang New Chitose merupakan lapangan terbang yang direkodkan sebagai lapangan terbang paling sibuk di Jepun kerana laluan udara domestik kedua paling kerap dilalui di dunia antara Tokyo dan Sapporo.
The post 36 penerbangan dibatal, 201 ditangguh gara-gara gunting hilang appeared first on The Reporter.




