363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya terima baki akhir pampasan RM74.2 juta

LocalPolitics
19 Sep 2025 • 12:05 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

image is not available

HULU SELANGOR, 19 SEPT: Setelah lebih tiga dekad menanti, seramai 363 bekas peneroka Felda Sungai Buaya termasuk waris, akhirnya menerima baki akhir pampasan sejumlah RM74.2 juta.

Penyelesaian bayaran akhir ini menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak RM375 juta oleh pemaju MJD Berhad dalam tempoh 1994 hingga 2025 dengan tahun ini sahaja RM110.5 juta dibayar kepada semua peneroka.

image is not available
Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari menerima cek cura sebagai simbolik di majlis penyerahan bayaran peringkat terakhir kepada peneroka Felda Sungai Buaya di pekarangan Pejabat Urusan MJD Berhad, Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor pada 19 September 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Majlis penyerahan bayaran disempurnakan Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari di pekarangan pejabat operasi MJD Berhad di sini, hari ini.

Amirudin berkata penyelesaian isu yang tergendala sejak 1994 merupakan hasil kerjasama semua pihak yang berusaha mencari titik noktah biarpun dalam tempoh yang panjang.

“Alhamdulillah hari ini satu lagi penyelesaian yang bukan hanya oleh Kerajaan Negeri yang saya telah mulakan sejak 2018 tetapi MJD Berhad, pejabat tanah daerah termasuk pejabat penyelaras Dewan Undangan Negeri Batang Kali dan Parlimen Hulu Selangor termasuk bekas wakil rakyatnya Datuk P Kamalanathan.

“Jadi saya mengucapkan ribuan penghargaan kepada semua pihak yang menjadi pemain penting menyelesaikan isu membabitkan 363 peneroka yang dalam kalangan mereka telah berusia 80 tahun dan ada juga telah meninggal dunia, tetapi negeri telah berjaya menyelesaikannya,” katanya.

image is not available
Jamadi Mohamad menadah tangan tanda kesyukuran pada majlis penyerahan bayaran peringkat terakhir kepada peneroka Felda Sungai Buaya di pekarangan Pejabat Urusan MJD Berhad, Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor pada 19 September 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Ditemui pemberita selepas majlis penyerahan, Amirudin berkata Kerajaan Negeri selepas ini akan menumpukan pembangunan infrastruktur di Bandar Sungai Buaya.

“Selepas ini sudah pasti kita ingin melihat kawasan ini dibangunkan dengan lebih baik, isu pengazzetan dan rizab di kawasan seperti masjid, dewan orang ramai, dan kemudahan-kemudahan penduduk akan diberi perhatian.

“Kita sedang menunggu kontraktor untuk membuat ukuran pembangunan kalau ada kekangan tertentu Pejabat Dato’ Menteri Besar boleh memberikan sokongan dan dokongan,” ujarnya.

image is not available
Penduduk Kampung Sungai Buaya memeluk Dato' Seri Amirudin Shari ketika majlis penyerahan bayaran peringkat terakhir kepada peneroka FELDA Sungai Buaya di pekarangan Pejabat Urusan MJD Berhad, Bandar Sungai Buaya, Hulu Selangor pada 19 September 2025.Foto HARUN TAJUDIN / MEDIA SELANGOR

Dato’ Menteri Besar turut percaya Bandar Sungai Buaya mempunyai potensi untuk dibangunkan sekali gus menyambut pembangunan rancak di kawasan utara negeri ini.

“Tumpuan negeri juga menyelesaikan isu tertunggak seperti pembesaran kampung di Batang Kali dan projek pembangunan yang terbengkalai.

“Setiap kawasan mempunyai hal yang berbeza namun saya percaya dengan langkah intervensi Kerajaan Negeri dengan usaha sama semua pihak, insya-allah kita akan selesaikan,” ujarnya lagi.