38 syarikat korporat menyumbang kepada Tabung Sejahtera MADANI

LocalBusiness & Finance
24 Jul 2025 • 4:23 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

38 syarikat korporat menyumbang kepada Tabung Sejahtera MADANI

image is not available

24/07/2025 - 16:23

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim merasmikan inisiatif Sejahtera Madani di Kompleks Seri Perdana, Putrajaya. Gambar/Bernama

KUALA LUMPUR 24 Julai - Sebanyak 38 syarikat korporat menyumbang kepada Tabung Kesejahteraan Rakyat di bawah Inisiatif Kesejahteraan Rakyat Malaysia MADANI (Sejahtera MADANI) dengan nilai keseluruhan hampir RM120 juta.

Inisiatif yang dilancarkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini, adalah komitmen kerajaan untuk membasmi kemiskinan secara berfokus dan bersepadu.

Program itu merupakan inisiatif nasional diselaraskan Unit Penyelarasan Pelaksanaan, Jabatan Perdana Menteri (ICU JPM) untuk membantu isi rumah miskin dan miskin tegar yang berdaftar dalam Sistem eKasih.

Syarikat penyumbang tertinggi ialah Weststar Group dengan RM15 juta diikuti RM10 juta masing-masing oleh YTL Corporation Bhd, Berjaya Corporation Bhd, MMC Corporation Bhd, Genting Bhd, DRB-Hicom Bhd, Tradewinds Group (M) Sdn Bhd/Yayasan AlBukhary.

Penyumbang lain termasuk Sapura Secured Technologies dengan RM3 juta, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (YaPEIM) (RM2.61 juta).

Malaysia Resources Corporation Bhd (MRCB), Peninsular Medical Sdn Bhd, Yinson Holdings Bhd, WCT Bhd dan Westports Malaysia Sdn Bhd pula masing-masing menyumbang RM1 juta.

Selain itu, syarkat Selia Selenggara Selatan Sdn Bhd, SD Guthrie Bhd, Cypark Resources Bhd, ITMAX System Bhd dan Nirvana Memorial Park Sdn Bhd masing-masing menyumbang RM500,000.

Penyumbang lain termasuk Fortress Mining Sdn Bhd (RM300,000), Belati Wangsa (M) Sdn Bhd (RM250,000) manakala Petrolife Aero Sdn Bhd, WZR Property Sdn Bhd dan AWC Bhd masing-masing menyumbang RM200,000.

Turut tersenarai sebagi penyumban FGV Holdings Bhd (RM150,000) manakala Darul Fikir, Farm Fresh Bhd, Pharmaniaga Bhd dan YHA Travel and Tours (M) Sdn Bhd masing-masing RM100,000.

Sementara itu, Telekom Malaysia (TM) menyumbang Program Keusahawanan Digital bernilai RM10 juta, Grab Malaysia menawarkan Inisiatif Pemerkasaan Ekonomi bernilai RM5 juta dan Prudential BSN Takaful menawarkan Microtakaful Jariyah (MTJ) bernilai RM3 juta.

Petronas dan Khazanah Nasional Bhd merupakan Rakan Strategik Sejahtera MADANI, dengan kesemua sumbangan akan dimanfaatkan di bawah Tabung Kesejahteraan Rakyat di bawah seliaan ICU JPM.

Pada masa sama, Perdana Menteri menggesa supaya kolaborasi antara kerajaan dan sektor swasta diperkukuh demi memastikan rakyat di semua peringkat mendapat manfaat secara menyeluruh.

Beliau berkata sektor swasta boleh memainkan peranan proaktif dengan mengemukakan cadangan atau idea bagi membantu kerajaan khususnya dalam projek sekolah angkat dan sebagainya.

“Saya telah beritahu kepada menteri dengan kementerian masing-masing (untuk) bekerjasama, jangan beri jawapan secara berpihak.

“Pastikan sektor swasta menyuara pendapat dan cadangan mereka. Dengan cara itu, penyesuaian dapat dilakukan,” katanya.

Sementara itu, Anwar mencadangkan pemimpin syarikat besar untuk turun padang meninjau keadaan sekolah angkat di bawah kendalian masing-masing atau di kawasan luar bandar.

“Saya cadangkan kehadiran Presiden atau CEO (Ketua Pegawai Eksekutif) sendiri dalam program sebegini dapat memberi keyakinan dan harapan besar kepada anak muda, lebih-lebih lagi kepada mereka yang datang daripada latar belakang kurang berkemampuan.

“Ia mampu menjadi sumber inspirasi dan harapan buat pelajar ini,” katanya.

Sementara itu, Anwar merakamkan penghargaan kepada syarikat korporat yang telah menyumbang dalam program bantuan, termasuk isu Gaza, sekolah angkat dan kemiskinan.

Beliau menyeru agar semua pihak menghindari isu perkauman dan permusuhan politik serta bersatu membina negara.

Perdana Menteri berkata antara kejayaan dasar kerajaan ialah projek pembaikan tandas sekolah meskipun dikritik pembangkang kerana menelan RM1 bilion namun ia untuk baik pulih lebih 1,200 tandas demi keselesaan murid.

“Walaupun dipermainkan oleh pembangkang...hampir RM1 bilion baik pulih 1,200 tandas. Bayangkan sekolah anak cucu kita tandas tak terurus,” katanya menambah, program sekolah angkat kini berkembang kepada 1,000 buah sekolah meliputi Sekolah Kebangsaan Cina dan Tamil.

Program Sekolah Angkat MADANI yang dicetuskan Anwar untuk menangani jurang pendidikan dengan sektor korporat memainkan peranan lebih besar dalam pembangunan negara, khususnya dalam bidang pendidikan. - DagangNews.com

featured standard