38 warga Indonesia ditahan PGA cuba seludup keluar Malaysia

4 Nov 2026 • 2:48 PM MYT
Media Selangor
Media Selangor

Berita dan isu semasa, inklusif untuk semua.

38 warga Indonesia ditahan PGA cuba seludup keluar Malaysia

KUALA LUMPUR, 4 NOV: Tiga tekong laut antara 38 warga Indonesia ditahan Pasukan Gerakan Am (PGA) dalam operasi membanteras penyeludupan migran di pesisir pantai Kampung Sungai Gatal dekat Sabak Bernam pada 2 November lalu.

Pemangku Komander Briged Tengah PGA ACP Awang Arfian Awang Bujang berkata mereka ditahan dalam serbuan menerusi Ops Taring Delta kira-kira 4.30 pagi ketika dipercayai cuba keluar dari Malaysia melalui laluan laut yang tidak diwartakan.

Beliau berkata 35 lagi individu yang ditahan terdiri daripada 24 lelaki dan 11 wanita dewasa.

“Pasukan operasi turut merampas sebuah bot nelayan, sebuah enjin Mitsubishi serta tiga telefon bimbit pelbagai jenama yang dipercayai digunakan sebagai alat komunikasi dalam kegiatan penyeludupan itu.

“Nilai keseluruhan rampasan dianggarkan RM406,800,” katanya pada sidang media di sini hari ini.

Beliau berkata kes berkenaan disiasat mengikut Akta Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran 2007 (ATIPSOM) serta Akta Imigresen 1959/63.

Dalam perkembangan berkaitan, Awang Arfian berkata Briged Tengah PGA merekodkan 171 kes membabitkan aktiviti penyeludupan migran dan kesalahan imigresen sepanjang 1 Januari hingga 4 November tahun ini.

Beliau berkata operasi penguatkuasaan dalam tempoh itu membawa kepada penahanan 898 individu di kawasan tanggungjawab briged berkenaan yang meliputi Selangor, Kuala Lumpur, Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.

“Daripada jumlah itu, 33 kes disiasat mengikut ATIPSOM membabitkan penahanan 76 tekong manakala 138 kes lagi direkodkan di bawah Akta Imigresen 1959/63 dengan 822 tangkapan,” katanya.

Beliau berkata PGA akan terus mempergiat operasi dan risikan bagi membanteras kegiatan penyeludupan migran serta aktiviti rentas sempadan yang menyalahi undang-undang.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kegiatan itu diminta menyalurkannya kepada pihak polis untuk tindakan lanjut,” katanya.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved