Aplikasi contact tracing ataupun pengesanan kontak ialah sebuah aplikasi yang boleh mengesan pergerakan individu untuk satu jangka masa tertentu untuk memastikan lokasi-lokasi yang pernah dijejaki mereka dengan tepat, dan juga individu-individu yang pernah berdekatan dengan mereka yang disyaki menghidapi wabak COVID-19.
Untuk membantu pihak keselamatan dan kesihatan tempatan untuk mengesan pergerakan mereka yang berkemungkinan dijangkiti wabak COVID-19 yang sedang menular, kerajaan Malaysia nampaknya sedang membangunkan aplikasi pengesanan kontak kita sendiri.
Melalui sambungan Bluetooth, aplikasi ini boleh mengesan individu-individu berdekatan yang mempunyai aplikasi yang sama yang dipasang didalamnya, dan akan mengeluarkan notifikasi jika seseorang individu itu pernah bertembung dengan sesiapa yang disyaki menghidapi wabak tersebut.
Screenshot aplikasi (beta) contact tracing Malaysia. Akan dihantar kepada iOS dan Android app stores dalam beberapa hari. Ini akan membantu mengesan close contact terutama apabila PKP dilonggarkan. Maklumat lokasi tidak dirakam untuk menjaga privasi pengguna. pic.twitter.com/dxyutE08D6
— Khairy Jamaluddin (@Khairykj) April 14, 2020
Melalui ciapan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin, aplikasi beta pengesanan kontak ini akan dihantar ke gedung aplikasi Apple App Store dan Google Play Store untuk pengesahan tidak lama lagi.
Menurut beliau, pakar-pakar pengaturcaraan tempatan sedang bekerjasama dengan mereka dari Google Malaysia untuk membangunkan aplikasi ini, dan data peribadi dan lokasi yang hadir pada aplikasi ini tidak akan dikumpul oleh mana-mana pihak, walaupun pembangun sendiri.
Aplikasi ini kebarangkalian akan boleh dimuat-turun oleh pengguna apabila Perintah Kawalan Pergerakan ini diringankan menjelang 28 April kelak.
