Kualiti Penstriman Netflix Dikurangkan Di Malaysia Sepanjang April

TechnologyDigital
31 Mar 2020 • 12:01 AM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Kita sudah merentas dua minggu perintah kawalan pergerakan yang menyebabkan ramai perlu bekerja dari rumah. Selain impak yang tinggi terhadap masyarakat dan ekonomi, ia turut menyebabkan penggunaan Internet meningkat kerana ramai memilih untuk menghabiskan masa menstrim video di rumah. Bermula esok 1 April, Netflix mengesahkan kualiti penstriman pelanggan mereka di Malaysia akan dikurangkan sepertimana yang berlaku di Eropah minggu lalu.

image is not available
Menurut Netflix pihak mereka akan mengurangkan lebar jalur sebanyak 25% sehingga penghujung bulan April. Ini ialah langkah proaktif mereka untuk mengurangkan beban ke atas infrastruktur Internet negara sepanjang tempoh PKP dan dilakukan tanpa permintaan dari pihak kerajaan.

Menurut Netflix, pengguna di Malaysia masih boleh menstim kandungan beresolusi 4K tetapi pada kadar bit yang lebih rendah. Sekiranya anda masih ingin menonton kandungan Netflix pada tetapan tertinggi, ia masih dinikmati dengan memuat turunnya terlebih dahulu pada peranti.

Oleh kerana pengguna masih boleh menonton kandungan 4K, tiada potongan harga akan ditawarkan bagi mereka yang melanggan kepada pakej Premium RM51 sebulan.

Dengan pengumuman awal ini pelanggan masih mempunyai masa untuk mengubah ke pakej lain sekiranya mereka melakukan pada hari pertama setiap bulan. Harus diingatkan sekiranya akan memilih untuk berubah dari pakej Premium, jumlah profil yang disokong pada akaun akan berkurangan dari empat pada waktu ini.