BMW Memperlihatkan Tren Kuasa Untuk Kenderaan Sel Bahan Api Hidrogen

TechnologyDigital
31 Mar 2020 • 4:15 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Ramai percaya kenderaan elektrik ialah evolusi seterusnya untuk kelangsungan industri automotif. Tetapi kekurangan yang nyata kenderaan elektrik pada waktu ini ialah jarak operasi yang terhad, kapasiti bateri yang kecil dan waktu pengecasan yang masih perlahan jika dibandingkan dengan mengisi bahan api fosil. Antara penyelesaian yang sedang dibangunkan ialah penggunaan sel bahan api hidrogen.

image is not available
Untuk merealisasikan impian menghasilkan kenderaan sel bahan api hidrogen, BMW telah memperlihatkan tren kuasa untuk kenderaan konsep Hydrogen Next mereka. Tren kuasa ini terdiri dari tangki hidrogen cecair dengan tekanan 700-bar yang mampu menempatkan 6 kilogram gas hidrogen.

Ini menurut mereka memberikan kenderaan dengan jarak operasi sehingga 750 kilometer. Lebih menarik kerana hidrogen digunakan, tempoh mengisi semula tangki ialah lima minit sahaja. Sel bahan api hidrogen ini apabila dipadankan dengan unit motor eDrive BMW mampu membekalkan output kuasa puncak 275 kW (374 hp).

BMW bekerjasama dengan Toyota untuk membangunkan tren kuasa ini kerana mereka adalah antara peneraju awal teknologi yang masih belum digunakan secara meluas. Penggunaan sistem sel bahan api hidrogen akan dilakukan dalam jumlah terhad pada tahun 2022 pada kenderaan yang berasaskan BMW X5. Sungguhpun begitu pengeluaran kenderaan sel bahan api hidrogen akan hanya mula ditawarkan kepada pengguna pada separuh kedua dekad ini.

image is not availableSel bahan api hidrogen menggunakan oksigen yang diambil dari udara untuk menghasilkan tindak balas yang menghasilkan tenaga elektrik dan wap air. Oleh itu ia dilihat sebagai teknologi lebih hijau berbanding kenderaan elektrik berbateri yang masih memerlukan litium dilombong dalam jumlah yang besar.

View Original Article