Microsoft Menamatkan Kesemua Permainan Internet Klasik Di Dalam Windows ME, XP, Dan 7

Gaming
10 Jul 2019 • 5:24 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

Microsoft pada sebelum ini telah menyertakan sejumlah permainan internet klasik di dalam sistem operasi Windows. Namun pada Windows 10, Microsoft tidak lagi menyertakannya kerana pengguna boleh memuat-turun permainan secara berasingan pada halaman Microsoft Store.

Disebabkan itu, Microsoft pada hari ini telah mengumumkan bahawa mereka akan menamatkan kesemua siri permainan internet klasik di dalam sistem operasi mereka yang terdahulu. Terdapat enam permainan yang terlibat iaitu Internet Backgammon, Internet Checkers, Internet Spades, Internet Hearts, Internet Reversi, dan MSN Go.

image is not available

Sistem operasi Windows ME dan Windows XP akan menjadi yang terawal dalam penamatan permainan ini, yang mana bakal mengambil tempat pada 31 Julai ini. Sementara bagi pengguna Windows 7, kesemua permainan internet klasik ini akan ditamatkan pada 22 Januari 2020.

Selepas daripada tarikh penamatan ini, kesemua siri permainan ini tidak dapat lagi dimainkan kerana sudah tidak mempunyai akses daripada Microsoft. Namun begitu, permainan luar talian seperti Solitaire, FreeCell, Hearts, Minesweeper, Pinball, Mahjong Titans, Chess Titans, dan Purble Place masih dapat dimainkan oleh pengguna seperti biasa.

Sebagai alternatif, Microsoft menyarankan kepada pengguna untuk menikmati teknologi terbaru daripada mereka, seperti menggunakan sistem operasi Windows 10. Melalui penggunaan Windows 10, pengguna boleh menikmati permainan internet ini melalui Microsoft Solitaire Collection yang boleh dimuat-turun secara percuma melalui Microsoft Store.