PUTRAJAYA - Penerima Bantuan Sara Hidup (BSH) dan pembayar cukai sedia ada tidak perlu memohon atau mengemukakan permohonan baharu bagi mendapatkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN).
Bantuan berjumlah RM10 bilion untuk golongan B40 dan M40 yang layak itu akan dibayar terus akaun bank masing-masing seperti didaftarkan dalam BSH serta Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDNM) dalam dua fasa pada akhir April dan Mei ini.
Kementerian Kewangan (MOF) dalam satu kenyataan media hari ini berkata, peruntukan tersebut seperti mana dalam Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat (Prihatin) bernilai RM250 bilion.
Penerima kategori isi rumah berpendapatan RM4,000 ke bawah akan menerima bayaran RM1,000 bagi April dan RM600 pada Mei.
Bagi isi rumah berpendapatan RM4,001 hingga RM8,000 pula akan menerima RM500 sebulan untuk dua bulan tersebut.
Kategori bujang berpendapatan RM2,000 ke bawah memperoleh manfaat sebanyak RM800 dengan bayaran RM500 pada April dan bakinya pada Mei.
Bagi bujang berpendapatan RM2,001 hingga RM4,000 akan menerima bayaran pada April dan Mei masing-masing sebanyak RM250.
Bagaimanapun, bagi mereka yang belum berdaftar, permohonan baharu boleh dibuat mulai 1 April 2020 menerusi laman web rasmi LHDNM: www.hasil.gov.my
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 27 Mac lalu mengumumkan Pakej Prihatin dengan menyediakan bantuan secara one-off atau sekali beri kepada golongan B40 dan M40 yang terjejas akibat Covid-19.
Dalam pada itu, MOF mengingatkan orang awam agar berhati-hati dengan scammer yang semakin berani mengambil peluang menipu orang awam yang memerlukan bantuan Pakej Prihatin.
“Penerima disarankan merujuk kepada sumber-sumber rasmi dan jangan memberikan maklumat kepada mana-mana pihak ketiga.
“Kementerian ingin berterima kasih kepada rakyat Malaysia kerana telah berkongsi pandangan, teguran dan cadangan mengenai Pakej Prihatin menggunakan pelbagai saluran.
“Kementerian melalui Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (Laksana) bersedia memastikan bantuan Pakej Prihatin disampaikan dengan efisien dan cepat,” katanya.

