PONTIAN - Polis menerima sebanyak 28 laporan berkaitan Pilihan Raya Kecil (PRK) Tanjung Piai bermula dari hari penamaan calon pada 2 November lalu sehingga pagi tadi.
Ketua Polis Johor, Datuk Mohd Kamarudin Md Din berkata, daripada jumlah itu, pihak polis membuka tiga kertas siasatan.
Menurutnya, satu kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 4A(1) Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 membabitkan kenyataan seorang pemimpin yang berunsur hasutan ketika memberi ceramah baru-baru ini, manakala selebihnya mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
"Setakat ini, dalam kes yang dilaporkan, kita belum ada buat sebarang tangkapan, cuma kita sudah pun mengambil keterangan saksi-saksi yang terlibat.
"Lagi dua masih dalam siasatan antaranya yang melibatkan papan iklan (parti bertanding) tumbang. Kita telah siasat dan kita dapati tiada unsur jenayah," katanya pada sidang media khas di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Pontian, di sini hari ini.
Katanya, satu kes dirujuk kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk siasatan lanjut berhubung laporan mengaitkan seorang calon PRK itu manakala satu lagi kes dirujuk ke Jabatan Peguam Negara berhubung kenyataan seorang presiden parti.
Sementara itu, Mohd Kamarudin berkata, sebanyak 447 permit kempen politik telah dikeluarkan oleh polis bagi PRK tersebut iaitu 75 permit dikeluarkan untuk Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) sebanyak 264, Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) (99), Barisan Jemaah Islamiah (Berjasa) (empat) dan Bebas (lima).
"Semua parti politik diingatkan supaya mematuhi setiap peraturan sepanjang tempoh berkempen termasuklah membuat permohonan permit bagi tujuan berkempen," katanya.
Dalam pada itu, beliau turut berharap proses hari mengundi awal membabitkan seramai 280 pegawai dan anggota polis berjalan lancar esok.
PRK itu menyaksikan pertembungan enam penjuru melibatkan calon PH Karmaine Sardini, Datuk Seri Dr Wee Jeck Seng mewakil BN, Wendy Subramaniam (Gerakan), Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa) serta dua calon Bebas iaitu Dr Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.
Ia diadakan susulan kematian penyandangnya iaitu Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Dr Md Farid Md Rafik, 42, akibat komplikasi jantung pada 21 September lepas. - Bernama


