
Beras merupakan salah satu barangan keperluan dan makanan ruji seluruh rakyat Malaysia. Oleh itu, harga bagi bahan mentah ini sentiasa menjadi perhatian orang ramai.
Ini kerana keadaan ekonomi yang semakin meningkat membuatkan beberapa barang mentah termasuklah beras juga meningkat disebabkan beberapa faktor.
Perkara ini secara tidak langsung membuatkan rakyat mengeluh kerana kos sara hidup yang semakin tinggi dan sebagainya.
Beras Melaka dijual pada harga RM26 untuk sekampit dengan berat 10 kg
Terbaharu, kerajaan negeri Melaka telah mengumumkan penjualan sebanyak 4,000 kampit Beras Melaka kepada rakyatnya dengan harga RM26 untuk satu kampit pada berat 10 kilogram.
Jelas Ketua Menteri Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusof Beras Melaka itu boleh didapatkan oleh rakyat negeri berkenaan di empat lokasi seperti:
- Pasar tani.
- Agrobazaar Kedai Rakyat.
- Program Jualan Agro Madani.
- Program Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR).
Menurut beliau, kesemua lokasi tersebut dikendalikan oleh pihak Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA).
“Terdapat enam lokasi pasar tani iaitu di Alor Gajah, Masjid Tanah, Lubok China, Merlimau, Jasin dan Selandar. Sementara itu, terdapat 28 Agrobazaar Kedai Rakyat di seluruh Melaka.
“Lokasi jualan akan sentiasa dikemas kini bergantung kepada jadial aktiviti FAMA Negeri Melaka,” jelasnya lapor Kosmo.
Beras Melaka dilarang dijual kepada warga asing, kad pengenalan diperlukan untuk pengesahan
Sementara itu Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Merlimau , Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh menjelaskan pembelian beras itu juga dihadkan kepada satu kampit bagi satu keluarga.
Syarat tersebut hanyalah seketika sementara menanti pengeluar beras untuk fasa kedua. Selain itu beras berkenaan juga dilarang dijual kepada warga asing.
“Kita menjangkakan pengeluaran beras pada fasa kedua meningkat sehingga lima kali ganda. Jadi buat sementara waktu kita hadkan pembelian sekampit Beras Melaka bagi satu keluarga.
“Beras Melaka juga dilarang dijual kepada warga asing dan pembeli akan diminta menunjukkan kad pengenalan bagi tujuan pengesahan sekiranya perlu.”




