4,000 Para Suami Lengkap Berapron ‘Banjiri’ Pulau Pinang Sabtu Depan

19 Oct 2022 • 2:15 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

image is not available

Kira-kira seramai 4,000 ahli ‘geng’ suami kaki masak, iaitu Suami Masak Apa Hari Ini? (SMAHI) bakal membanjiri Stadium Negeri Pulau Pinang di Batu Kawan, Pulau Pinang pada Sabtu 29 Oktober minggu depan.

‘Serbuan’ ribuan lelaki berapron itu adalah bersempena majlis perhimpunan warga SMAHI secara besar-besaran buat kali kedua selepas himpunan pertama yang dilangsungkan di Malakat Mall, Cyberjaya pada sambutan Aidilfitri lalu.

Pengasas SMAHI, Mohd Salleh Ab Hamid atau lebih mesra dikenali sebagai Rodk berkata, beliau berasa teruja dengan sambutan yang diterima melalui pra-pendaftaran yang sudah dibuka sejak empat bulan lepas.

“Majlis perjumpaan ini bakal menyaksikan lebih 4,000 orang ahli dari seluruh Malaysia akan berkumpul bersama di samping aktiviti yang menarik untuk mereka yang hadir.

“Saya mewakili rakan-rakan admin (pentadbir kumpulan Facebook) SMAHI sangat gembira berjumpa dengan semua ahli SMAHI secara bersemuka dari seluruh negara,” katanya dalam satu kenyataan baru-baru ini.

image is not available
Rodk (paling kanan) bersama barisan admin SMAHI yang lain | Gambar: SMAHI

Dalam pada itu, tujuan perhimpunan mega para suami SMAHI tersebut juga adalah untuk mengeratkan lagi hubungan silaturrahim sesama mereka, memandangkan selama ini masing-masing lebih banyak berinteraksi secara maya sahaja di Facebook.

“Kalau sebelum ini kami cuma berinteraksi menerusi laman Facebook dan laman sosial, ruangan komentar atau siaran langsung secara maya (live event).

“Maka pada hari itu nanti kami dapat berkumpul bersama, mengenali satu sama lain dengan lebih rapat dan bercerita kisah masing-masing sambil menjamu selera, memandangkan dua tahun tidak dapat berjumpa sebegini.

“Lebih menarik, majlis kali ini berkonsepkan ‘potluck’ dan para tetamu dihidangkan dengan puluhan jenis menu yang disediakan oleh ahli-ahli SMAHI sendiri yang pastinya semuanya enak-enak belaka,” tambahnya.

Dirasmikan Ketua Menteri Pulau Pinang

image is not available
Gambar: Alie Rasso via SMAHI

Difahamkan, majlis himpunan warga SMAHI yang ditaja oleh Aqiqah Centre itu bakal dirasmikan oleh Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow bagi turut mahu menarik pelancong dari dalam dan luar negara untuk datang ke Pulau Pinang sebagai destinasi pilihan.

Menariknya, jelas Mohd Salleh lagi, majlis tersebut turut menerima pelbagai jenis penajaan lain daripada segi makanan, hadiah, cenderahati, logistik dan seumpamanya daripada kalangan ahli SMAHI sendiri.

“Dalam majlis ini juga nanti bakal menyaksikan semua ahli SMAHI memakai apron beramai-ramai yang dijangkakan lebih 3,000 orang untuk bergambar bersama bagi mencipta sejarah yang tersendiri.

“Majlis ini akan bermula pada pukul 10 pagi dengan aktiviti memasak bersama sehingga 10 malam yang akan diselang-seli dengan sesi cabutan bertuah,” tambahnya.

Sementara itu imbas kembali sejarah bermulanya SMAHI, Mohd Salleh tidak dapat menafikan bahawa beliau berasa kagum akan perjalanan panjang mereka ‘membina’ SMAHI sehingga dikenali di dalam dan luar negara.

image is not available
Antara watak utama, Yayar & Abah | Gambar: poster ‘countdown’ terdahulu/FB SMAHI

“Sememangnya, kami tidak menjangkakan group Facebook ini telah berkembang dan mendapat perhatian sehingga tular bukan sahaja di Malaysia, malah SMAHI juga ada ahli di London!

“Siapa sangka, daripada sekadar minat terhadap memasak dan makanan semasa pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), sekarang SMAHI menjadi sebuah ‘brotherhood’ yang aktif memberi khidmat kepada masyarakat, sambil kekal sebagai platform untuk para suami berkongsi apa yang mereka masak hari ini.

“Kami akan terus menganjurkan aktiviti sebegini dan berharap silaturrahim yang terjalin antara ahli SMAHI akan bertambah erat,” tambahnya.

Imbas kembali, kumpulan Facebook SMAHI mula ditubuhkan pada 16 April 2020 bersempena pelaksanaan PKP fasa pertama sebagai medium para lelaki khususnya golongan suami untuk saling berkongsi kisah hobi memasak masing-masing.

Untuk rekod, SMAHI kini berjaya mencatat jumlah keahlian lebih 319,000 orang ahli setakat ini dari seluruh Malaysia dan luar negara seperti United Kingdom, Perancis, Singapura, Amerika Syarikat, Mesir dan Australia.

Sumber: Kenyataan media SMAHI