4.2 juta warga emas, Malaysia bersedia hadapi Negara Tua

LocalFamily & Parenting
4 Oct 2026 • 2:12 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 4.2 juta warga emas, Malaysia bersedia hadapi Negara Tua

PETALING JAYA – Malaysia dijangka mencapai status Negara Tua pada 2036 apabila golongan berusia 60 tahun ke atas membentuk 15 peratus daripada keseluruhan populasi negara.

Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri berkata, berdasarkan unjuran Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM), jumlah penduduk negara pada tahun ini dianggarkan 34.4 juta orang dengan 4.2 juta daripadanya atau 12.3 peratus merupakan warga emas.

Katanya, perkembangan demografi itu memerlukan persediaan rapi termasuk memperkukuh sistem sokongan dan penjagaan warga emas, khususnya dalam aspek pekerjaan, jaminan pendapatan serta kesihatan awam.

“Kita tidak melihat warga emas sebagai beban, sebaliknya sebagai aset berharga negara. Mereka adalah penyimpan pengalaman, penghubung generasi dan pemacu pembangunan berteraskan nilai,” katanya ketika merasmikan Sambutan Hari Warga Emas Peringkat Kebangsaan 2026 di Grand Ballroom, Melaka International Trade Centre (MITC), Melaka semalam.

Menurut beliau, kerajaan menerusi Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) terus memperkukuh sokongan kepada warga emas melalui Dasar Warga Emas Negara dan Pelan Tindakan Warga Emas Negara (PTWEN).

Usaha itu turut merangkumi pengukuhan jaringan perlindungan sosial serta pembangunan komuniti mesra warga emas menerusi Pusat Aktiviti Warga Emas (PAWE), PAWE@3A, program kesukarelawanan dan platform digital kendalian Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM).

Nancy berkata, kerajaan turut memberi penekanan kepada pendekatan penjagaan berasaskan keluarga dan Penuaan Setempat (Ageing-in-Place) bagi membolehkan warga emas terus hidup dalam komuniti masing-masing.

“Melalui Skim Bantuan Warga Emas (BWE), bantuan sebanyak RM600 sebulan disalurkan secara bersasar kepada individu yang layak.

“Sehingga Julai lalu, sebanyak RM711.8 juta telah disalurkan dan memberi manfaat kepada 171,236 warga emas,” katanya.

Dalam pada itu, KPWKM sedang memperkukuh ekosistem penjagaan menerusi Kerangka Strategik dan Pelan Tindakan Penjagaan di Malaysia 2026–2030 yang memberi tumpuan kepada keperluan penjaga profesional, jurang kepakaran, impak ekonomi serta aspek polisi, perundangan dan insentif industri.

Sambutan Hari Warga Emas Sedunia ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) pada 1 Oktober setiap tahun sejak 1990, manakala Malaysia mula mengiktiraf sambutan berkenaan pada 1992.

Sambutan peringkat kebangsaan tahun ini diadakan pada 3 Oktober menerusi konsep karnival bagi membolehkan lebih ramai warga emas mengambil bahagian, selain menampilkan pelbagai program dan pengiktirafan terhadap pencapaian golongan berkenaan.

Program itu turut menghimpunkan kementerian, agensi kerajaan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, komuniti dan individu dalam usaha memperkukuh sokongan terhadap warga emas. – KOSMO! ONLINE

The post 4.2 juta warga emas, Malaysia bersedia hadapi Negara Tua appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved