4 Individu Ditahan Disyaki Terbabit Kes Kematian Pelatih Puspen Sungai Siput

3 Feb 2023 • 2:36 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Polis menahan empat lelaki kerana disyaki terbabit dengan kes kematian seorang pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Perlop di Sungai Siput - Gambar Fail

IPOH - Polis menahan empat lelaki kerana disyaki terbabit dengan kes kematian seorang pelatih Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (Puspen) Perlop di Sungai Siput.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata kesemua suspek yang ditahan terdiri daripada tiga orang kakitangan dan seorang pelatih pusat pemulihan berkenaan dan mereka berusia lingkungan 30 hingga 38 tahun.

Beliau berkata pihak polis menerima maklumat berkaitan kematian seorang lelaki tempatan berumur 50 tahun yang merupakan pelatih di pusat pemulihan tersebut kira-kira 12.55 tengah hari, pada 31 Jan lepas.

"Hasil siasatan awal mendapati terdapat kesan kecederaan pada bahagian badan mangsa dan telah dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun Ipoh untuk proses bedah siasat. 

"Hasil bedah siasat mengesahkan terdapat kecederaan di bahagian belakang badan mangsa akibat dipukul dengan menggunakan objek tumpul," katanya dalam kenyataan hari ini.

Mohd Yusri berkata kesemua suspek direman selama tujuh hari bermula semalam sehingga 8 Feb ini bagi membantu siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Justeru, Mohd Yusri turut menasihatkan kepada oramg ramai supaya tidak sesekali menularkan maklumat yang tidak sahih kepada umum dan tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan polis. - Bernama