
Baru-baru ini, kecoh mengenai kematian empat individu selepas hadir konsert ambang tahun baru, Pinkfish Countdown 2024 di Bandar Sunway, Subang Jaya.
Polis Selangor memaklumkan keempat-empat individu terbabit yang terdiri daripada dua lelaki dan dua wanita warga tempatan telah hadir ke konsert berkenaan pada 31 Disember lalu.
Dipercayai ambil pil ekstasi
Terbaharu, siasatan awal polis mendapati keempat-empat mangsa yang maut selepas menghadiri konsert ambang tahun baru itu dipercayai mengambil pil ekstasi (ecstasy) .
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussien Omar Khan menerusi satu kenyataan semalam (2 Januari) berkata, setakat ini pihaknya menerima enam laporan polis daripada Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM) dan Hospital Kuala Lumpur (HKL).
“Kedua-dua hospital ini menerima tujuh pesakit yang mengalami simptom yang sama.
“Empat daripada mereka meninggal dunia seperti dilaporkan sebelum ini manakala dua lagi dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan seorang lagi sudah discaj dari hospital.
“Semua mangsa tidak hadir bersama-sama di konsert berkenaan tetapi hadir secara berasingan dengan kawan-kawan dan ahli keluarga masing-masing,” katanya.
6 individu sudah dirakam percakapan
Menurutnya, setakat ini seramai enam individu sudah dirakam percakapan bagi membantu siasatan berhubung kejadian itu.
“Beberapa pihak lagi akan dipanggil untuk membantu siasatan termasuk penganjur konsert dan rakan-rakan mangsa.
“Hasil siasatan awal mengesahkan semua ketujuh-tujuh mangsa menghadiri konsert berkenaan dan ada mengambil pil jenis ekstasi,” katanya lagi.
Polis masih menunggu laporan analisis toksikologi
Menurutnya lagi, polis masih menunggu laporan analisis toksikologi untuk mengesahkan perkara itu termasuk punca kejadian.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian boleh menghubungi Pegawai Penyiasat Sarjan Mohd Ridzal Puat di talian 03-56382122 atau mana-mana balai berhampiran,” katanya.
Pihak polis terima laporan kematian 2 lelaki dan 2 wanita selepas hadir konsert Pinkfish
Terdahulu, pihak polis menerima empat laporan daripada PPUM berhubung kematian dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Bedah siasat telah dijalankan pada 1 Januari dan punca kematian masih ‘pending laboratory investigation’” ujar Hussien.
Hussien berkata, pemeriksaan pihak polis ke atas keempat-empat individu terbabit yang berumur dalam lingkungan 20 hingga 40 tahun mendapati tiada sebarang kecederaan luaran yang dikesan.
Baca Artikel Berkaitan:


