Ikuti saluran TikTok, WhatsApp BuzzKini untuk berita, informasi dan topik trending terbaharu.
Seorang juruwang stesen minyak dijatuhi hukuman penjara lapan bulan dan empat sebatan oleh Mahkamah Majistret Lahad Datu, Sabah selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan salah guna nombor MyKad seorang pelanggan untuk tujuan tuntutan subsidi diesel BUDI MADANI tanpa kebenaran pemilik.
Memetik Berita Harian, tertuduh, Khairul Haizad Herman, 27, membuat pengakuan itu sebaik semua pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Nur Asyraf Zolhani semalam (5 Ogos).

Tertuduh Guna MyKad Pengadu Sebanyak Empat Kali
Berdasarkan empat pertuduhan terbabit, tertuduh didakwa menyalahgunakan identiti nombor MyKad milik seorang lelaki yang juga pelanggan dengan menggunakan subsidi BUDI MADANI tanpa pengetahuan dan kebenaran di Stesen Minyak Petronas Aman Jaya, Jalan Silam di Lahad Datu.
Kesalahan itu dilakukan sebanyak empat kali iaitu pada:
1) 26 Julai 2026, 7.14 malam
2) 26 Julai 2026, 7.34 malam
3) 26 Julai 2026, 8.30 malam
4) 27 Julai 2026, 9.31 malam
Baca Artikel Berkaitan: Individu Boleh Dipenjara 3 Tahun Sekiranya Guna MyKad Orang Lain Untuk Beli Minyak Petrol RON95
Mangsa Sedar MyKad Disalahguna Selepas Semak Transaksi
Tertuduh didakwa di bawah Seksyen 403 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga lima tahun, sebat dan juga boleh dikenakan denda jika sabit kesalahan.
Mengikut fakta kes, pengadu yang juga pemilik MyKad berusia 48 tahun mendakwa kuota subsidi diesel BUDI MADANI yang didaftarkan menggunakan nombor kad pengenalan miliknya telah digunakan tanpa pengetahuan.
Dia menyedari perkara itu selepas membuat semakan menerusi laman sesawang BUDI MADANI pada 30 Julai lalu.
Pengadu Rugi RM99.78 Selepas MyKad Disalahguna Juruwang, Namun Akui Tak Pernah Hilang MyKad
Hasil semakan mendapati terdapat empat transaksi pembelian diesel berjumlah 43.01 liter di stesen minyak terbabit antara 26 hingga 27 Julai lalu, sekaligus menyebabkan pengadu mengalami kerugian sebanyak RM99.78.
Jelas individu yang menetap di Taman Semarak, Tawau itu, dia tidak pernah kehilangan MyKad selain mempercayai bahawa kad pengenalan miliknya telah disalahguna oleh pihak tidak bertanggungjawab bagi mendapatkan subsidi diesel BUDI MADANI yang diperuntukkan untuknya.
Baca Artikel Berkaitan: Polis Tahan Lelaki Guna 4 MyKad Berbeza Beli Lebih 100 Liter Petrol
Tertuduh Mengaku Bersalah Guna MyKad Orang Lain Untuk Tuntut Subsidi Diesel
Selepas siasatan dijalankan, pihak polis mendapati tertuduh yang bekerja sebagai juruwang di stesen minyak tersebut mengaku telah menggunakan identiti nombor MyKad pengadu tanpa pengetahuan dan kebenaran.
Dia kemudiannya ditahan pada 31 Julai lalu di stesen minyak itu bagi membantu siasatan.
Suspek Guna Password Supervisor Untuk Masukkan Nombor MyKad Tanpa Guna Kad Fizikal
Memetik Sinar Harian, Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisoner Dzulbaharin Ismail berkata lelaki itu sebelum ini ditahan bersama dua orang rakan sekerjanya selepas mendapat aduan daripada mangsa.
Namun kedua-dua rakan sekerjanya itu termasuk seorang wanita telah dijadikan sebagai saksi pendakwaan.
“Susulan itu, polis menjalankan siasatan dan mendapati modus operandi suspek adalah apabila pelanggan datang mengisi bahan api menggunakan MyKad untuk bantuan subsidi, suspek akan mencatat nombor MyKad pelanggan,” katanya.
Suspek kemudian menggunakan kata laluan penyelia untuk memasukkan nombor MyKad tersebut tanpa penggunaan kad fizikal ke dalam mesin sistem BUDI MADANI Diesel.
Ia kemudian digunakan untuk pembelian bahan api oleh pelanggan yang tidak layak menerimanya.
“Suspek akan memasukkan nombor MyKad orang lain dengan harga subsidi dan mengaut keuntungan secara salah,” tambahnya.
Tertuduh Rayu Hukuman Diringankan Dengan Alasan Merupakan Pencari Nafkah & Perlu Tanggung Ibu Yang Hidap Kanser
Sementara itu, tertuduh merayu hukuman diringankan dengan alasan merupakan pencari nafkah tunggal keluarga selain perlu menjaga ibunya yang menghidap penyakit kanser pada ketika ini.
Selepas mempertimbangkan rayuan kedua-dua pihak, mahkamah akhirnya menjatuhkan hukuman penjara lapan bulan dan empat sebatan terhadap tertuduh.
Baca Artikel Berkaitan: Lelaki Selamba ‘Open’ Nak Jual Kuota RON95 Bersubsidi RM2.70 Seliter Di Threads Undang Kritikan
Baca Artikel Berkaitan: Harga Diesel Subsidi Turun RM2.10 Seliter Di Seluruh Negara Mulai Julai, Mekanisme Berasaskan MyKad Seperti BUDI95




