4 lelaki terkorban ketika padam kebakaran hutan di Jawa 

WorldEnvironment
16 Oct 2026 • 5:32 PM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 4 lelaki terkorban ketika padam kebakaran hutan di Jawa 

JAKARTA – Empat lelaki maut ketika memadamkan kebakaran hutan di sebuah taman negara di Pulau Jawa ketika Indonesia berdepan kebakaran dan asap toksik yang berterusan selama beberapa bulan, demikian menurut Kementerian Perhutanan hari ini. 

Keempat-empat mangsa terperangkap ketika bertungkus-lumus memadamkan kebakaran di Taman Negara Bromo Tengger Semeru, wilayah Jawa Timur semalam, kata kementerian itu tanpa mendedahkan identiti mereka.

Dua lagi individu melecur serius. 

Dua mangsa yang terkorban dikenal pasti sebagai pegawai taman negara, manakala dua lagi ialah pengawal keselamatan yang membantu mereka, demikian menurut jurucakap Taman Negara Bromo Tengger Semeru, Endrip Wahyutama.

“Mereka terperangkap di tengah-tengah nyalaan api serta kepulan asap tebal. Tiga mangsa maut di lokasi kejadian, manakala seorang lagi disahkan meninggal dunia di hospital. 

“Seorang anggota pemadam kebakaran sukarela dan seorang pengawal keselamatan dari hotel berdekatan taman negara sedang menerima rawatan,” kata Endrip.

Kementerian Perhutanan Indonesia menyifatkan insiden tersebut sebagai peringatan bahawa operasi memadamkan kebakaran hutan dan tanah adalah operasi berisiko tinggi. 

Sementara itu,  jumlah titik panas di seluruh negara melonjak kepada 799 setakat petang semalam berbanding 372 hari sebelumnya. 

Kawasan paling terjejas tertumpu di wilayah Kalimantan Tengah  diikuti kawasan di bahagian selatan Pulau Sumatera. 

“Kalimantan Tengah mencatatkan peningkatan terbesar (dalam titik panas), jadi operasi lapangan sedang diperkukuhkan,” tambah kenyataan sama. – AGENSI

 

The post 4 lelaki terkorban ketika padam kebakaran hutan di Jawa  appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved