
KUALA LUMPUR - Empat karya seni lukisan yang berjaya dibawa pulang menerusi usaha pemulihan aset 1Malaysia Development Bhd (1MDB) akan dipamerkan kepada orang ramai secara percuma selepas kerja-kerja konservasi selesai.
Balai Seni Negara dalam kenyataan memaklumkan, keempat-empat karya yang sebelum ini dimiliki bekas peguam 1MDB, Jasmine Loo, kini berada di bawah jagaan dan kawal selianya sementara menunggu proses konservasi bagi memastikan ia sesuai untuk dipamerkan.
Bagaimanapun, tarikh pameran masih belum ditetapkan dan maklumat lanjut akan diumumkan kemudian.
Menurut kenyataan itu, pameran berkenaan bukan sahaja memberi peluang kepada orang ramai melihat karya seni terbabit secara dekat, malah bertujuan meningkatkan pemahaman pengunjung mengenai sejarah dan kepentingannya.
Empat lukisan yang dibawa pulang pada April lalu itu ialah L’Ecuyere et les clowns (1961) karya Pablo Picasso, Composition (1953) oleh Joan Miro, Maison de rendez-vous de chasse de Henri IV, Rue St Vincent, Montmartre (1934) karya Maurice Utrillo dan Etude pour femme couchee (1948) oleh Balthus.
Kesemua karya seni itu dianggarkan bernilai keseluruhan AS$198,125 (kira-kira RM815,000).
Dalam pada itu, Balai Seni Negara turut menyatakan kesediaan menerima dan menyimpan lapan lagi lukisan bernilai lebih RM120 juta yang dijangka diperoleh semula oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menjelang akhir tahun ini menerusi kerjasama dengan pihak berkuasa asing, khususnya Amerika Syarikat.
Bagaimanapun, pihaknya tidak dapat mengesahkan sama ada proses pemulihan itu masih mengikut jadual kerana pemulangan karya seni berkenaan bergantung kepada pihak berkaitan.
Balai Seni Negara berkata, perbincangan turut diadakan bersama pihak berkepentingan bagi memperjelas tanggungjawabnya dalam aspek penjagaan, pengurusan dan pameran karya seni yang dikaitkan dengan 1MDB.
Menurutnya, institusi itu telah diberi amanah untuk menjaga serta mempamerkan lukisan berkenaan dan bertanggungjawab memastikan pemeliharaan serta pengurusannya dilaksanakan dengan sewajarnya memandangkan karya seni itu dibeli menggunakan wang awam. - Getaran, 23 November 2026





