4 maut ditembak pelajar

16 Oct 2026 • 8:58 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: 4 maut ditembak pelajar

LOS ANGELES – Insiden tembakan di sebuah sekolah rendah di negeri Oregon, barat laut Amerika Syarikat(AS) semalam mengakibatkan ‘berbilang mangsa’, kata polis, dengan media tempatan melaporkan, tiga kanak-kanak dan seorang dewasa terkorban.

Jurucakap Jabatan Polis Bend, Sheila Miller berkata, polis bertindak selepas menerima laporan mengenai  tembakan dilepaskan ke arah sebuah kereta diikuti beberapa panggilan kecemasan lain dalam tempoh beberapa minit mengenai penembak aktif di kawasan sekolah.

Anggota polis  tiba di tempat kejadian selang beberapa minit selepas menerima panggilan kecemasa itu  pada pukul 1 tengah hari (waktu tempatan), seterusnya menerima satu lagi laporan  bahawa ‘penyerang telah ditembak mati’.

Menurut Miller, polis tidak pasti siapa yang menembak suspek, dan dia  mungkin orang awam yang kebetulan berada di lokasi kejadian.

Dalam satu kenyataan selepas itu, polis mengesahkan bahawa ‘kanak-kanak adalah antara mangsa yang terkorban sambil menambah, sekurang-kurangnya dua orang dibawa ke hospital berdekatan.

“Keadaan mereka pada masa ini belum diketahui,” katanya.

Saluran berita CNN dan CBS News yang memetik pihak berkuasa, melaporkan bahawa empat orang termasuk  tiga kanak-kanak dan seorang individu dewasa terkorban.

Menurut CNN,  penembak adalah seorang remaja lelaki berusia 16 tahun, namun butiran itu juga masih belum disahkan oleh polis.

Miller memberitahu, antara 400 hingga 450 kanak-kanak bersekolah di Sekolah Rendah Silver Rail itu di mana lebih 40 kakitangan berkhidmat.

Sekolah rendah tersebut terletak kira-kira  270 kilometer ke tenggara  bandar raya Portland dan menampung pelajar peringkat rendah dari usia tadika hingga tahun  lima.

Keganasan senjata api kerap berlaku di AS di mana senjata api mudah diperoleh,  dengan beribu-ribu orang terbunuh setiap tahun. Ia mempunyai kadar kematian berkaitan senjata api tertinggi antara semua negara maju.

Kejadian tembakan di sekolah paling berdarah dalam sejarah AS pula berlaku di Virginia Tech pada 16 April 2007 apabila pelajar Korea Selatan,  Seung-Hui Cho membunuh 32 orang dan mencederakan 17 yang lain sebelum mengambil nyawa sendiri.

Terdapat lebih  360 kejadian tembakan massa di AS sepanjang  tahun ini, demikian  menurut Arkib Keganasan Senjata Api  yang mendefinisikan tembakan massa sebagai empat atau lebih orang ditembak. – AFP 

 

The post 4 maut ditembak pelajar appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved