4 parah kemalangan berasingan

24 Aug 2025 • 10:01 AM MYT
Daily Express
Daily Express

Daily Express Online (Malaysia) is Sabah's top-ranked & most viewed English news site. It is also Sabah's leading & most circulated daily English newspaper.

image is not available

TAWAU: Seorang pemandu wanita yang memecut kenderaannya ketika lampu isyarat sudah bertukar jingga mengakibatkan tragedi apabila terbabit dalam kemalangan di Jalan Damai Batu 1, Jalan Apas, di sini, Jumaat malam.

Dalam kejadian itu, tiga individu cedera parah termasuk pemandu berusia 21 tahun itu, selain penunggang dan pembonceng motosikal yang tercampak akibat impak.

Pemangku Ketua Polis Daerah Tawau, Supt Champin Piuh, berkata kemalangan kira-kira jam 9.30 malam itu berlaku apabila Proton Saga 1.5 dipandu wanita berkenaan melanggar sebuah motosikal Yamaha Y152ZR sebelum merempuh sebuah kenderaan lain.

“Wanita itu bersama seorang penumpang, iaitu anak saudaranya berusia setahun enam bulan, yang dilaporkan hanya cedera ringan,” katanya di sini, Sabtu.

Menurut Champin, kereta itu dipandu dari arah Batu 8 Jalan Apas menuju ke bandar, manakala motosikal dinaiki dua anak muda berusia 21 dan 18 tahun datang dari arah bandar menuju Kampung Titingan.

“Wanita terbabit tidak memperlahankan kenderaan ketika lampu isyarat sudah bertukar jingga, sebaliknya terus memecut sebelum bertembung dengan motosikal berkenaan.

“Impak perlanggaran menyebabkan keretanya hilang kawalan lalu terbabas ke bahu kiri jalan sebelum merempuh pagar sebuah bengkel dan melanggar kereta Subaru XV yang diparkir,” katanya.

Siasatan awal juga mendapati wanita berkenaan hanya memiliki lesen memandu jenis B2 yang sah untuk motosikal berkuasa enjin tidak lebih 250cc, dan bukannya lesen kereta.

Dalam kejadian berasingan, seorang lelaki berusia 19 tahun cedera parah selepas kereta Honda City dipandunya terbabas sendiri di Jalan Chong Thien Vun sekitar jam 1.50 pagi Sabtu, manakala penumpang wanitanya, juga berusia 19 tahun, mengalami kecederaan ringan.

“Siasatan awal mendapati kereta itu dipandu secara laju dan berbahaya dari arah bandar menuju Batu 4 Jalan Apas sebelum hilang kawalan, melanggar pembahagi jalan, terbabas ke laluan bertentangan dan merempuh penghadang jalan sejauh kira-kira 100 meter,” katanya.

Kedua-dua mangsa tersepit dalam kereta sebelum diselamatkan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Tawau.

Hasil siasatan lanjut mendapati kedua-dua mereka bukan warga tempatan dan pemandu juga tidak memiliki lesen memandu.

Kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 kerana memandu dengan tidak cermat dan tidak bertimbang rasa, yang memperuntukkan hukuman denda antara RM5,000 hingga RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan, jika sabit kesalahan.

Beliau menasihatkan orang awam supaya sentiasa mematuhi undang-undang jalan raya dan mengelak daripada memandu kenderaan tanpa lesen atau tanpa sebarang perakuan daripada pihak berkuasa.

“Kita anggap kesalahan sebegini serius malah bukan saja boleh dikenakan tindakan undang-undang tetapi turut berisiko mengancam keselamatan diri sendiri dan pengguna jalan raya yang lain,” katanya.