4 Produk Kosmetik Beracun Dikesan, KKM Batal Notifikasi

Beauty
4 Jul 2022 • 2:59 PM MYT
Getaran
Getaran

Menampilkan laporan semasa & terkini yang mencakupi pelbagai aspek kehidupan

image is not available
Produk-produk ini tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia. - Gambar dari Twitter KKM

KUALA LUMPUR - Kementerian Kesihatan (KKM) menerusi Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA) mengenal pasti empat produk kosmetik yang dikesan mengandungi racun berjadual.

Ketua Pengarah Kesihatan (KKM) Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, empat produk tersebut adalah Biela Beauty Glowing Night Cream, BL Skincare Day Cream 1, BL Skincare Day Cream 2 dan BL Skincare Night Cream.

Katanya, notifikasi produk kosmetik terbabit sudah dibatalkan oleh Pengarah Kanan Perkhidmatan Farmasi, KKM dan tidak lagi dibenarkan untuk dijual di Malaysia.

“Produk mengandungi hydroquinone dan tretinoin adalah ubat yang perlu berdaftar dengan Pihak Berkuasa Kawalan Dadah dan hanya boleh digunakan dengan nasihat ahli profesional kesihatan.

“Penggunaan produk yang mengandungi bahan tersebut tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan kesan sampingan yang tidak diingini,” katanya hari ini.

Jelas beliau, hydroquinone boleh menyebabkan kesan kemerahan pada kulit yang disapu, ketidakselesaan, perubahan warna kulit tidak diingini, kulit menjadi hipersensitif, boleh menghalang proses pigmentasi yang mengurangkan perlindungan kulit daripada pancaran sinar UV berbahaya dan meningkatkan risiko kanser kulit.

Katanya lagi, penggunaan tretinoin tanpa pengawasan ahli profesional kesihatan boleh menyebabkan bahagian kulit disapu menjadi kemerahan, tidak selesa, pedih, mengelupas dan hipersensitif kepada cahaya matahari.

“Merkuri pula dilarang di dalam produk kosmetik kerana boleh memudaratkan kesihatan. Ia boleh diserap masuk ke dalam badan dan menyebabkan kerosakan pada buah pinggang dan sistem saraf.

“Ia juga boleh mengganggu perkembangan otak janin dan kanak-kanak. Merkuri juga boleh menyebabkan ruam, iritasi serta perubahan lain pada kulit,” katanya.

Susulan itu, beliau meminta penjualan dan pengedaran produk terbabit dihentikan serta-merta kerana penjualan dan pengedaran produk kosmetik seumpama itu melanggar Peraturan-Peraturan Kawalan Dadah dan Kosmetik 1984.

“Individu yang melakukan kesalahan di bawah peraturan-peraturan itu boleh dikenakan hukuman denda tidak melebihi RM25,000 atau penjara tidak melebihi 3 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan pertama.

“Mereka juga boleh didenda tidak melebihi RM50,000 atau penjara tidak melebihi 5 tahun atau kedua-duanya untuk kesalahan berikutnya,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, syarikat yang melakukan kesalahan boleh dikenakan denda sehingga RM50,000 untuk kesalahan pertama dan denda sehingga RM100,000 bagi kesalahan berikutnya.

Katanya, orang ramai yang menggunakan produk kosmetik terbabit dinasihatkan segera menghentikan penggunaannya dan mendapatkan nasihat ahli profesional kesihatan jika mengalami sebarang ketidakselesaan atau kesan sampingan. - Getaran, 4 Julai 2022