
GUA MUSANG - Empat termasuk dua kanak-kanak maut manakala seorang lagi cedera parah selepas kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah treler di Jalan Utama, Felda Chiku 1 di sini pada Isnin.
Dalam kejadian kira-kira jam 9 pagi itu, kereta jenis Honda EK yang dinaiki lima mangsa bertembung dengan treler menyebabkan semua penumpang kereta tersepit.
Pemandu treler tidak mengalami sebarang kecederaan.
Komander Operasi Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Gua Musang, PBK II Nik Mohd Fakri Md Nawi berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan melalui Sistem MERS sebelum bergegas ke lokasi sejauh 34 kilometer.
**media[3233550]**
“Setiba di lokasi pada jam 9.34 pagi, didapati lima mangsa tersepit dalam kereta.
“Seorang lelaki dewasa, seorang wanita dewasa dan dua kanak-kanak disahkan meninggal dunia, manakala seorang wanita yang memandu kereta berkenaan berada dalam keadaan nazak,” katanya dalam kenyataan pada Ahad.
Menurut beliau, mangsa yang cedera dihantar ke hospital, manakala mangsa yang meninggal dunia diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.
Operasi turut disertai sembilan anggota dari BBP Gua Musang dengan kekuatan logistik sebuah jentera Tender Penyelamat Kebakaran, kenderaan Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) dan sebuah Kenderaan Respons Pertama jenis Mitsubishi Triton.



