KOTA BHARU - Konsortium E-Mutiara Bhd (E-Mutiara) memaklumkan sebanyak 40,000 tiket bas ekspres melibatkan perjalanan pulang ke Kelantan sempena Aidilfitri habis dalam tempoh beberapa hari sebelum Ramadan.
Pengerusi Eksekutifnya, Che Ibrahim Che Ismail berkata, jualan tersebut melibatkan tempoh perjalanan puncak selama lapan hari bermula 13 hingga 20 Mac ini.
"Pada tahun ini kita mengambil pendekatan menjual tiket lebih awal, iaitu beberapa hari sebelum Ramadan bagi memberi peluang kepada penumpang membuat persediaan lebih awal untuk pulang ke kampung," katanya kepada pemberita pada Majlis Penyampaian Zakat E-Mutiara di sini pada Khamis.
Menurut beliau, permintaan tertinggi dicatatkan bagi perjalanan dari Lembah Klang ke Kelantan iaitu sebanyak 3,051 trip direkodkan sepanjang tempoh puncak berkenaan.
Katanya, E-Mutiara turut merancang menambah hampir 10 buah bas lagi sekiranya beberapa kenderaan yang sedang dibaik pulih siap serta mendapat kelulusan untuk kembali beroperasi sebelum Aidilfitri.
Dalam perkembangan lain, Che Ibrahim memberitahu, harga tiket musim perayaan naik sebanyak 10 peratus.
Kata beliau, ia disebabkan oleh pelaksanaan caj musim perayaan yang dibenarkan oleh kerajaan.
Ujarnya, ia bukan kenaikan tambang tetap, sebaliknya mekanisme yang dibenarkan bagi memastikan syarikat pengangkutan terus mampu beroperasi sepanjang musim perayaan.
"Pelaksanaan caj tersebut penting kerana kebanyakan operasi bas pada musim perayaan bersifat perjalanan sehala yang menyebabkan pengusaha menanggung kos tambahan.
"Ini bukan kenaikan tambang, tetapi caj musim perayaan yang dibenarkan kerajaan bagi membantu pengusaha menampung kos operasi.
"Kebiasaannya bas dari Kuala Lumpur ke Kota Bharu penuh dengan penumpang, tetapi perjalanan pulang pula kosong atau mempunyai penumpang yang sangat sedikit," katanya.





