40% jualan PKS merundum berikutan terkesan dengan polikrisis - Azizan Osman
zulfadli
15/08/2023 - 18:29
KUALA LUMPUR 15 Ogos - Kira-kira 30% hingga 40% jualan perusahaan kecil dan sederhana (PKS) merundum ekoran terkesan dengan 'polikrisis' yang berlaku ketika ini hingga menyebabkan perniagaan mereka gulung tikar, kata Pengerusi RichWorks International Sdn Bhd, Datuk Wira Dr Azizan Osman.
Polikrisis bermaksud krisis-krisis yang berlaku dalam satu masa menyebabkan impak yang lebih besar kepada semua pihak.
Azizan yang juga Mentor Usahawan berkata, ia berikutan peningkatan kos barangan dan bahan mentah yang naik mendadak dan disifatkan lebih teruk berbanding pandemik COVID-19.
"Selain itu, PKS terpaksa menanggung kos dan modal tinggi untuk mendapatkan khidmat dan membayar gaji pekerja. Semua ini menjadi penghalang untuk PKS menjana keuntungan.
"Dengan peningkatan harga barang dan persaingan sengit dalam perniagaan, situasi sekarang lebih kritikal dari zaman pandemik," katanya dalam sidang media di sini hari ini.
Yang turut hadir Presiden DPMM, Norsyahrin Hamidon; Setiausaha Agung DPMM, Ahmad Yazid Othman; Pengarah Eksekutif RichWorks, Hasnita Ahmad dan Ketua Pegawai Perniagaan RichWorks, Radz Mohd.
Terdahulu, RichWorks dan Dewan Perniagaan Melayu Malaysia (DPMM) menandatangani perjanjian persefahaman usaha sama bagi memperkasakan usahawan Bumiputera.

Azizan berkata, usahawan tiada pilihan lain untuk tingkatkan ilmu, kemahiran dan strategi bagi berdepan polikrisis yang dijangka akan berpanjangan.
Katanya, polikrisis ini benar dan bukannya dibangkitkan untuk menakut-nakutkan orang ramai terutama usahawan.

"Apatah lagi, hasil perbincangan dalam World Economic Forum (WEF) di Davos, Switzerland menjangkakan keadaan ekonomi akan lebih teruk pada September ini.
"Moga jangkakan ini tidak berlaku namun jika berlaku macam mana? Sebagai usahawan 80% kejayaan sebenarnya datang daripada persediaan mereka," katanya. - DagangNews.com

