
LANGKAWI – Seramai 40 penyelia serta anggota penembak tepat Gerak Khas menjalani latihan intensif selama empat minggu di Lapang Sasar Menembak Antarabangsa Langkawi (Lisram), di sini semalam dalam usaha mempertingkat kemahiran serta keupayaan operasi peserta.
Kesemua mereka merupakan peserta Kursus Penyelia Sniper Gerak Khas Siri 1/2026 dan Kursus Ahli Sniper Gerak Khas Siri 1/2026 yang dianjurkan Pusat Latihan Peperangan Khusus (Pulpak), Tentera Darat di Kem Sungai Udang, Melaka.
Komandan Pulpak, Kolonel Nordin Abu berkata, Langkawi dipilih sebagai lokasi latihan berdasarkan kedudukan geografi dan kepelbagaian bentuk muka bumi yang mampu menguji keupayaan serta ketahanan peserta.
“Langkawi menyediakan persekitaran latihan yang mencabar serta realistik. Kemudahan yang ada juga membolehkan peserta mengaplikasi kemahiran dipelajari. Malah mereka juga boleh menguji konsistensi dan ketepatan tembakan jarak jauh,” katanya pada sidang akhbar selepas majlis penutupan kedua-dua kursus berkenaan, di sini.
Menurut Nordin, kursus turut diperkasa dengan latihan ‘arial sniping’ bagi meningkatkan keupayaan peserta menyesuaikan diri dengan pelbagai situasi operasi.
“Latihan turut membabitkan penggunaan pesawat Agusta A109 LOH milik Pasukan Udara Tentera Darat dan EC725 AP milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM), yang memberikan dimensi berbeza kepada latihan peserta,” katanya.
Pada majlis sama, Leftenan Mohammad Ayyub Johari dari 11 Rejimen Gerak Khas dinobatkan sebagai Penembak Terbaik Kursus Ahli Sniper, manakala Prebet Qasri Albari Ismail dari Rejimen 22 Komando dipilih sebagai Penuntut Keseluruhan Terbaik. – KOSMO! ONLINE
The post 40 penembak tepat Gerak Khas tamat latihan intensif appeared first on Kosmo Online.
