40 peratus hak Sabah: Hormati keputusan Mahkamah Tinggi-Ronald Kiandee

LocalPolitics
13 Mar 2026 • 5:26 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

image is not available
Ronald Kiandee

KOTA KINABALU - Tindakan kerajaan Persekutuan memfailkan permohonan menangguhkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi Kota Kinabalu berhubung tuntutan 40 peratus hasil Sabah mengecewakan rakyat negeri ini.

Ahli Parlimen Beluran, Datuk Seri Ronald Kiandee berkata, sebelum ini kerajaan Persekutuan dilaporkan menyatakan tidak akan merayu keputusan mahkamah tersebut.

Bagaimanapun katanya, pada saat akhir, kerajaan Persekutuan tetap memfailkan rayuan walaupun katanya rayuan terhadap alasan penghakiman.

"Tindakan memohon penangguhan pelaksanaan keputusan ini menimbulkan persoalan besar tentang konsistensi dan keikhlasan Kerajaan Persekutuan dalam menghormati keputusan Mahkamah Tinggi, dan maruah rakyat Sabah.

"Walau apapun alasan dan justifikasi yang diberikan untuk ‘mewajarkan’ permohonan stay ini, hakikatnya tindakan kerajaan Persekutuan ini mempunyai kesan yang sama, iaitu melambatkan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi dan terus-menerus memperlekehkan hak Sabah dalam Persekutuan.

"Jika benar kerajaan Persekutuan menghormati keputusan Mahkamah Tinggi dan peduli dengan rintihan rakyat Sabah, mengapa perlu menangguhkan pelaksanaannya," katanya dalam kenyataan pada Jumaat.

Beliau turut menegaskan bahawa janji kerajaan Persekutuan untuk menghormati tuntutan 40 peratus hasil Sabah seolah-olah dipermainkan apabila permohonan penangguhan ini dibuat.

"Tindakan ini juga menimbulkan persoalan sama ada rundingan antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri Sabah telah menemui jalan buntu sehingga kerajaan Persekutuan memilih untuk memohon penangguhan di mahkamah.

"Rakyat Sabah berhak mendapat penjelasan," desaknya.

Ronald turut menegaskan bahawa hak Sabah yang dijamin oleh Perlembagaan tidak seharusnya dilayan sambil lewa dan pematuhan pelaksanaannya tidak wajar ditangguhkan atau dilengah-lengahkan.

"Tindakan ini mencetuskan perdebatan mengenai kredibiliti kerajaan dalam mematuhi keputusan mahkamah dan memberi impak kepada persepsi rakyat Sabah terhadap komitmen kerajaan terhadap hak negeri," katanya.