
KOTA BELUD: Seramai 40 pesawah di Kampung Jawi-Jawi di sini menyambut penghujung 2022 dengan senyuman apabila hasil tuaian padi meningkat lebih 60 peratus.
Pesawah di bawah program Padi Pintar Berskala Besar Bernas (Smart SBB) di sini mencapai sasaran apabila hasil padi musim pertama di Blok 3 dan 4, Kampung Jawi-Jawi mencatatkan peningkatan daripada 2.60 tan metrik kepada 4.15 tan metrik sehektar.
Program Smart SBB untuk musim pertama 2022 di kawasan itu bermula pada 12 Mei, tahun ini, hasil usaha sama Bernas dengan Kementerian Pertanian dan Perikanan Sabah.
Agensi kerajaan lain yang terlibat ialah Kawasan Kemajuan Pertanian Bersepadu Kota Belud (IADA), Jabatan Pengairan dan Saliran, Pertubuhan Peladang Kawasan, Jabatan Pertanian Sabah, antara lain.
Penyelia Smart SBB Kg Jawi-Jawi, Rajumin Jamrin berkata peserta program ini melahirkan rasa gembira dan bersyukur dengan hasil sebenar yang melebihi sasaran ditetapkan iaitu 4.0 tan metrik sehektar.
“Sawah seluas 42.34 hektar di sini ditanam dengan varieti padi TR8. Proses penuaian padi bermula pada 5 September lalu dengan jumlah hasil bersih sekitar 176 tan metrik atau purata hasil sekitar 4.15 tan metrik sehektar,” kata Rajumin yang merupakan Ketua Blok Jawi-Jawi.
Menurut Rajumin lagi, pesawah di sini pada awalnya kurang yakin dengan program Smart SBB. Tetapi setelah mencuba dan melihat hasilnya, ramai yang mula menunjukkan minat untuk menyertai program ini.
“Sekarang sudah memasuki musim kedua, mereka secara sukarela mula mengikut kaedah penanaman yang disyorkan oleh Bernas dan agensi terlibat. Selain itu, kemudahan jentera membajak dan menuai yang dahulunya sukar diperoleh di kawasan ini, kini sudah dibekalkan oleh Bernas.
“Ia memberi keselesaan kepada pesawah di samping menjimatkan masa dan tenaga mereka. Semua ini pasti akan tercapai sekiranya peserta program mempunyai disiplin dan usaha berterusan, insya-Allah,” katanya.
Seorang peserta muda, Hisham Stu yang pertama kali bekerja di sawah padi amat berpuas hati dengan pulangan yang diterimanya.
“Sebelum ini saya mendapat pulangan bersih hasil sawah sekitar RM2 ribu semusim. Alhamdulillah selepas menyertai Smart SBB bersama Bernas, ia meningkat kepada RM6 ribu.
“Selain itu, kerja yang dahulunya berat dan berbahaya kini menjadi lebih mudah, terancang dan selamat dengan adanya teknologi seperti dron untuk membaja dan meracuni rumpai. Bimbingan daripada Bernas dan agensi lain banyak membantu kami memahami cara menanam padi dengan lebih cekap,” tambahnya.
Pencapaian ini ternyata membolehkan pesawah di sini membayar balik kos operasi mereka, selain menikmati lebihan pendapatan.
Sementara itu, seorang lagi peserta Smart SBB, Duli Okoi meluahkan rasa sangat berpuas hati dengan hasil dan pendapatan yang diperolehinya untuk musim ini.
“Pematuhan kepada jadual kerja ladang yang teratur dan aktiviti pengurusan ladang bersepadu telah membuahkan hasil yang ketara.
“Kepada pesawah di Kg Jawi-Jawi yang masih belum menyertai Program Smart SBB, sertai kami pada musim-musim akan datang,” katanya.
Smart SBB mula diperkenalkan pada awal ta2021 dan merupakan salah satu inisiatif Kementerian Pertanian dan Keselamatan Makanan (MAFS) untuk meningkatkan kadar Tahap Sara Diri (SSL) beras negara kepada 75 peratus menjelang 2025 atau sebelum tamat tempoh Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12).
Berdasarkan pencapaian setakat ini, program ini dilihat berada di landasan tepat dalam membimbing pesawah dan memacu perubahan ke arah pembangunan sektor padi dan padi tempatan.
Setakat ini, Bernas merancang untuk membangunkan tanah seluas 127 hektar dengan 86 peserta di Kota Belud. Program ini akan diperluaskan pada masa hadapan agar dapat memberi manfaat kepada lebih ramai pesawah.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

