SHAH ALAM - Hampir 40 rakyat Malaysia termasuk Melayu, Cina dan India terpilih menyertai misi kemanusiaan Global Sumud Flotilla (GSF) 2.0.
Chef de Mission Sumud Nusantara, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman berkata, daripada jumlah tersebut, hanya seorang peserta misi GSF 1.0 dipilih semula sebagai peserta kali ini iaitu bekas wartawan, Zainal Rashid Ahmad.
Menurutnya, pemilihan semula Zainal Rashid atau lebih dikenali sebagai ZRA dibuat berdasarkan peranan khusus yang akan digalasnya bersama pempengaruh, Ahmad Faezal sepanjang misi berkenaan.
“Hanya seorang kita letakkan sebagai peserta Misi GSF 2.0 iaitu ZRA, kerana ada tugas khusus diamanahkan kepada beliau dan Ahmad Faezal untuk membentuk polisi-polisi baharu di dalam serta luar negara setelah mereka pulang nanti.
“Selain daripada mereka, Sumudee tahun lepas kembali semula ke GSF 2.0 dengan syarat yang telah kita tetapkan dari awal, iaitu mereka hanya boleh hadir sebagai kru, ketua kapal dan sebagai medik,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Sabtu.
**media[3488186]**
Pada Isnin, Pegawai Strategik Sumud Nusantara, Haikal Luqman Zulkefli memaklumkan bahawa kira-kira 3,000 sukarelawan dari seluruh dunia menyertai misi GSF 2.0 bagi menghantar bantuan ke Palestin yang dijadualkan bermula 12 April depan.
Menurut beliau, hampir 150 kapal akan belayar secara serentak dalam misi berkenaan yang bermula dari Itali sebelum singgah di beberapa negara.
Muhammad Nadir Al-Nuri berkata, pendekatan mengecualikan peserta misi terdahulu merupakan sebahagian daripada strategi meningkatkan kapasiti pasukan melalui latihan lebih tersusun melibatkan agensi seperti Jabatan Laut Malaysia (JLM), selain pengukuhan kemahiran pengucapan awam dan ilmu berkaitan operasi misi.
“Mereka telah melalui latihan yang lama untuk mendapatkan lesen sebagai kru. Selain itu, mereka turut menjalani latihan untuk advokasi berhubung sejarah dan perkembangan isu Palestin.
“Kita meletakkan harapan tinggi kepada peserta GSF 2.0 yang akan sekali lagi belayar. InsyaALLAH berada bersama-sama dalam pergerakan ini, memecahkan kepungan dan menggerakkan masyarakat dunia untuk melihat apa yang sedang berlaku di bumi Palestin,” ujarnya.

